“Tukar lampin, suap makan, Benjy tak lalui kehidupan normal” – Pendedahan adik

2,789 views

Pernah menjadi antara pelakon yang amat berbakat, Benjy anak kepada arwah Azean Irdawaty akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya.

Perginya Benjy membuatkan ramai yang sedih terutama ahli keluarganya apatah lagi tidak dapat bersua dengannya kerana berada di penjara di negara jiran, Indonesia.

Benjy disahkan pergi buat selamanya akibat penyakit kronik asma yang dialaminya.

Mengimbas kembali kehidupan arwah Benjy, adik kepada Benjy iaitu Inessa irdayanty menyatakan abangnya itu melalui zaman kanak-kanak yang berbeza.

Sejak kecil, Benjy telah menjadi seorang abang yang amat bertanggungjawab dan menggalas tugas menjaga adik-adiknya.

Kakak saya iaitu Elza Irdalynna lahir ketika arwah abang berusia 9 tahun, kemudian saya pula lahir ketika abang berusia 12 tahun. Masa tu mama dan abah memang busy dengan kerja masing-masing. Abang Benjy tak pernah lalui kehidupan yang normal sebagai seorang kanak-kanak.

Dari umurnya 9 tahun, setiap hari lepas habis dan pulang dari sekolah, abang akan tolong mama untuk jaga kami adik-adiknya. Antara yang abang buat ialah salin lampin dan suap makan pada kami.

Benjy jaga kami ni dah macam anak dia sendiri malahan dia terus jaga kami adik-adiknya sampai kami dah besar.

Jelas Inessa, sebagai manusia biasa, memang tak pernah yang sempurna dan akan buat kesilapan termasuklah abangnya.

Kami tak nafikan kasih sayang kami kepada dia walaupun dia terlibat dengan kesalahan udang-undang.

Saya dan kakak Elza amat terhutang budi dengan abang, apa yang abang buat, jaga kami, tak ada apa yang boleh mengubahnya.

Sementara itu, Benjy juga sering menghubungi adik-adiknya itu walaupun jauh berada di negara jiran. Malah, kali terakhir Benjy call ialah pada minggu lepas. Benjy juga ada hubungi ayahnya untuk beri ucapan sempena hari bapa baru-baru ini.

Benjy menghembuskan nafas terakhir ketika berumur 43 tahun di sebuah hospital di Medan kerana asma yang semakin teruk. Benjy berada di penjara Medan sejak tahun 2017 setelah menerima hukuman 11 tahun.

Antara naskah lakonan Benjy yang amat terkenal ialah filem Baginda dan drama Kerana Cintaku Saerah.