“Saya beritahu Bella, kita kena hormati pandangan orang lain” Aliff Aziz

9,786 views

Finalis Gegar Vaganza musim kelapan iaitu Aliff Aziz tak terlepas dari komen kurang baik dari netizen yang tidak menyukai dirinya.

Apabila ada komen yang tak berapa baik, selalunya isterinya, iaitu Bella Astillah akan tampil mempertahankan suaminya dan membalas komen-komen tersebut.

Setiap komen yang kurang berpuas hati dengan persembahan Aliff di GV8, Bella pasti akan membalas dengan lantangnya.

Kata Aliff, Bella berbuat sedemikian agar dirinya tak tertekan apatalah lagi sedang bertanding di rancangan yang besar seperti Gegar Vaganza.

Namun kadangkala, Bella dilihat agak emosi dan ini diakui oleh Aliff sendiri. Aliff juga ada berkata kepada isterinya, setiap orang boleh membari pendapat, dan pendapat itu hendaklah dihormati.

“Saya ada cakap pada Bella, kita kenalah hormati pendapat dan pandangan orang lain. Setiap individu ada hak mereka untuk menyatakan pandangan masing-masing. Betul atau tak, biar Allah saja yang akan menentukannya.”

“Sebagai isteri, kemungkinan Bella ada terbawa-bawa dengan perasaan dan emosinya. Walhal bagi saya, semua komen walaupun yang kurang baik itu hanyalah umpama secubit garam saja.”

“Semua yang berlaku itu adalah Allah sudah pun aturkan. Saya hanya mampu tawakkal saja.”

Selain itu, ada juga yang mengandaikan Aliff Aziz dilayan bagaikan anak emas Astro, dan sering saja mendapat lagu yang sesuai.

“Memang macam-macam benda yang orang cakap. Apapun saya tetap hormati pendapat mereka. Bagi saya pula, ini merupakan aturan dari Yang Maha Esa.”

“Saya tetap mahu ucapkan ribuan terima kasih di atas semua komen positif atau pun yang sebaliknya. Kedua-duanya merupakan input yang saya akan lihat dan nilaikan.”

Pada hujung minggu ini, Aliff Aziz akan bersaing di final Gegar Vaganza dengan menyanyikan lagu Sampai Syurga (Faizal Tahir) dan lagu Dealova (Once) yang mana Aliff akan berduet dengan Hafiz Suip.