Shuk didakwa sengaja tiru perniagaan air Shuib

2,963 views

Sejak kisah bermain kayu tiga viral, Shuk Sahar menerima dugaan apabila digugurkan sebagai penyampai radio. Kontraknya telah ditamatkan sebagai deejay Hot FM.

Demi mencari rezeki, kini Shuk Sahar kuatkan semangat dan telah pun menceburi bidang perniagaan dengan membuka kedai minuman baru-baru ini.

Kedai minuman milik Shuk Sahar ini telah diberi nama Semooth Café yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Namun ada pihak yang mengatakan bahawa konsep kedai minuman milik Shuk ini seakan meniru perniagaan yang dilakukan oleh rakannya, Shuib Sepahtu.

Kedua kedai berkenaan menyediakan air bobba dan air manis sebagai hidangan utama.

Menjawab dakwaan ini, Shuk akui sebenarnya dia menjadikan Shuib sebagai inspirasi utama perniagaannya.

Malah, Shuk berkata Shuib ada mengajarnya ilmu serta nasihat tentang dunia perniagaan.

“Saya tahu, mungkin akan ada yang kata pembukaan jenama ini seakan-akan sama dan nak tiru kedai minuman yang diusahakan oleh Shuib yang kini amat popular.”

“Sejujurnya, saya sendiri memang ada tanya kepadanya. Saya minta tips perniagaan dari Shuih, akan tetapi saya bukannya meniru. Sebagai kawan, Shuib tak kedekut pun turunkan ilmu pada saya yang masih baru dalam business.”

Shuk juga sempat memberitahu bahawa antara pesan Shuib adalah untuk terus pandang ke depan.

“Shuib ada kata jangan sesekali mengaku kalah, kena jalan terus ke depan bila dah masuk dunia business ini. Kalau asyik fikir saja tapi tak buat, kita tak dapat apa-apa.”

“Ternyata Shuib memang idola saya. Dengan izinnya, jika ada rezeki, saya mahu ikut jejak langkah dia. Sasaran awal saya ialah mahu buka enam cawangan Semooth Cafe. Doakan saya.”

Sebelum ini Hot FM mengesahkan bahawa Shuk ditamatkan kontraknya setelah didapati terlibat dengan kes orang ketiga. Shuk akui kerja sebagai penyampai radio merupakan sumber pendapatan utamanya, sekaligus membuatkan dirinya terjejas.