Apa masalah Mk K-clique, penerbit bingung

5,754 views

Filem aksi berjudul Marabahaya Underground kini baru saja ditayangkan di pawagam rumah iaitu Astro First. Namun ada sedikit luahan dari penerbit filem ini iaitu Suhaimi Selamat.

Suhaimi meluahkan rasa terkilan terhadap Mk K-Clique yang turut berlakon dalam filem ini. Katanya, Mk K-Clique tak memberi kerjasama yang baik untuk promosikan filem berkenaan.

Jelasnya dia memang bingung dengan penyanyi tersebut langsung tak ada post tentang filem tersebut, sedangkan sudah ada kontrak yang memintanya turut promosikan filem tersebut. Ini komennya seperti yang dilaporkan portal Harian Metro.

“Memang ada tertulis di kontrak tentang bahagian promosi dan pemasaran. Kalau Mk rasa kami hanya nak guna namanya, difikirkan semula, kami ambil dia berlakon semasa followernya baru 100ribu saja, pada tahun 2019.”

“Cat Farish sebagai pengarah filem itu, ada nampak potensi Mk menjadi seorang pelakon dan dia nyatakan hasrat mengambilnya. Tetapi tak sangka jadi begini pula.”

Kata Suhaimi lagi, dia ada hubungi Mk K-Clique namun ianya tidak membuahkan hasil.

“Bila mesej atau telefon nak jumpa pun tak ada kata putus. Lepas tu bila dah berjanji tak muncul pula, itu yang lebih sulitkan keadaan ini.”

“Kalau dia mahukan bayaran lebih untuk promosi, semuanya boleh kita bincang. Saya ni malas nak panjangkan isu ni, tapi memang saya nak tahu apa sebenar yang berlaku.”

“Mungkin ada peminatnya juga tertanya-tanya sebab apa dia tak ada upload sebarang hantaran dan sebagainya.”

Sebagai penerbit, Suhaimi yakin dengan filem ini dan bukannya bergantung kepada ahli kumpulan K-Clique itu.

“Saya percaya dengan filem Marabahaya Underground ini dan tak bergantung kepada Mk semata-mata. dan kalau dia tak nak promosi, maka terpulanglah. Apa yang terjadi ini tak bagus industri, semoga ianya tak berlaku lagi.”

Ditanya tentang Cat Farish, ini reaksi Suhaimi.

“Bukan saya saja yang ada mesej, tapi Cat pun selaku pengarah dia ada juga mesej tentang perkara ini. Saya pasti sebagai director filem ini, Cat juga kecewa apatah lagi ini filem arahan pertamanya. Kami ada bukti mesej dan semuanya. Dan, bayaran juga sudah dibayar ikut masa.”

Itulah penjelasan dari penerbit filem Marabahaya Underground, Suhaimi Selamat tentang kisah melibatkan Mk K-Clique.