Hafidz Roshdi mengaku tak bersalah menumbuk Shuhada

1,393 views

Pelakon Hafidz Roshdi dilihat telah hadir ke mahkamah Kuala Kubu Bahru pagi tadi untuk kes melibatkan dakwaan mencederakan Nurul Shuhada Mat Shukri. 

Pelakon ini tampil bersama beberapa individu pagi tadi dengan mengenakan face mask dan pakaian kemeja berwarna hijau berserta jaket kelabu dan bercermin mata hitam. 

Hafidz Roshdi telah berjalan dengan tenang sambil mengangkat sedikit tangan ketika melihat kamera. 

Dari laporan, Hafidz Roshdi kemudian telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan yang dibuat ke atasnya. 

Ianya merupakan pertuduhan menumbuk pipi di bahagian kiri isterinya sebanyak tiga kali sehingga tercedera dan luka. 

Kejadian itu didakwa berlaku di dalam sebuah kenderaan di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada tarikh 2 Mac lalu, sekitar jam 3 pagi lebih. 

Pelakon berumur 29 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib. 

Dari pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29 tahun, menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di bahagian pipi kiri wanita berkenaan. 

Kes ini mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Ianya turut melibatkan Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. 

Timbalan Pendakwa Raya ialah Nurul Qistini Qamarul Abrar, dan Hafidz Roshdi pula diwakili oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader. 

Dari laporan Utusan, pihak pendakwaan kemudian telah membuat permohonan supaya Hafidz Roshdi dihantar ke hospital untuk penilaian psikiatri. 

Susulan itu, pihak mahkamah memerintahkan Hafidz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani penilaian dan berserta rawatan psikiatri.

Kes ini menjadi bualan ramai setelah Nurul Shuhada membuat satu entry menunjukkan dirinya tercedera sehingga menerima beberapa jahitan setelah berlaku pertengkaran dengan Hafidz Roshdi, dikatakan pelakon berkenaan telah pun melafazkan talak terhadap isterinya pada bulan Februari dan kes ini akan disahkan pada hujung bulan Mac ini.