“Kena penjara sebab menagih ni tak berbaloi, kembali ke pangkal jalan” ~ Ameng Spring

3,650 views

Vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng menyatakan pandangan peribadinya bahawa hukuman dipenjara disebabkan memiliki atau menggunakan barang terlarang adalah sesuatu yang amat tidak berbaloi.

Penyanyi berumur 54 tahun ini, berkata sedemikian melalui satu laporan dari portal Berita Harian.

Jelasnya, perbuatan itu hanya akan merugikan saja, apatah lagi terperosok ke dalam penjara.

Hal ini diungkapkan atas pengalaman peribadinya sendiri.

“Hukuman kena penjara ini sesuatu yang teramat merugikan kehidupan. Apabila saya berada di dalam penjara selama lapan tahun, itu merupakan tempoh yang saya telah kerugian dalam hidup ini.”

“Bukan saja sesuatu yang merugikan, malah ianya amat memalukan. Oleh itu, hal ini hanya mendatangkan mudarat pada diri sendiri saja.”

Walaupun masuk penjara merupakan detik hitam dalam hidupnya, tetapi ianya juga merupakan titik perubahan dirinya kepada lebih baik selepas itu.

“Setelah dimasukkan ke dalam penjara, boleh cakap hidup ini dah gagal. Tak ada tempat yang lebih gagal atas dunia ini melainkan barada dalam tu.”

“Berada kat dalam, saya ambil iktibar dan pengajaran, saya kata pada diri, saya kena ubah sebab diri saya ni sedang gagal dalam kehidupan.”

“Kalau saya teruskan buat perkara yang sama, saya akan terus kegagalan. Saya tak mahu jadi terus macam tu.”

Untuk info, Ameng dihukum penjara selama 8 tahun dan turut menerima 10 kali sebatan kerana salahguna barang terlarang.

“Ambil barang tu memang dah salah di sisi undang-undang sebab banyak kesan sampingannya dan memberi mudarat pada kehidupan.”

“Bila dah start ambil memang sukar nak keluar sebab ianya memang mengasyikkan dan seronok.”

Kini Ameng memberi nasihat bahawa seorang kena faham bahawa dunia ini hanya pinjaman saja.

“Kena faham konsep dunia ini untuk apa. Dunia ni kan hanyalah sementara. Tempat untuk nikmati keseronokkan bukanlah di dunia, tetapi di syurga. Hentilah yang ambil tu, semoga kembali semula ke pangkal jalan.”

Kini hidup Ameng berubah dan telah mendekatkan diri dengan maha pencipta.