Sepahtu penyambung legasi Senario? Saiful Apek kata belum lagi, tak sampai lagi

2,502 views

Dulu nama kumpulan Senario memang gah dalam dunia seni ini, apatah lagi dah berjaya sapu pelbagai genre. 

Bukan setakat mempunyai rancangan sitkom TV yang begitu terkenal, kumpulan Senario berjaya di pawagam dengan filemnya, berjaya dengan album dengan lagu yang menjadi siulan ramai, malah Senario juga dah pernah berjaya masuk ke Anugerah Juara Lagu. 

Saiful Apek antara anggota kumpulan ini yang juga pernah merangkul Bintang Paling Popular tak lama dulu. 

Bercakap tentang pelawak yang sedang popular pada masa kini, Apek merasakan masih belum ada yang mampu tandingi atau mengikuti fenomena yang pernah dilalui oleh Kumpulan Senario dulu-dulu. 

Bagi Apek, masih belum ada pelawak yang dapat buat rancangan sitkom, mempunyai album, menjayakan konsert atau ada keluarkan filem sendiri macam kumpulan Senario buat dulu. 

“Fenomena macam saya bersama dengan Kumpulan Senario dulu, boleh cakap, satu-satunya kumpulan yang dapat buat fenomena, masa itu, bukan saja buat lawak dan buat komedi tetaapi Senario ada sitkom, album, konsert, dan tak lupa juga filem sendiri.” 

“Jadi cuba cakap pada saya, ada tak pelawak sekarang sama ada secara solo mahu pun berkumpulan yang ada kriteria ni sekarang ini. Oleh itu, takkanlah nak habiskan macam tu tanpa ada pengganti yang baru.” 

Saiful Apek yang dipilih antara salah seorang juri dalam rancangan Awesome Raja Lawak, turut memberi pandangan tentang kumpulan Sepahtu, iaitu kumpulan lawak paling hebat ketika ini. 

“Bagi saya belum lagi sama, kalau bagi peratus pun, saya boleh cakap hanya 30 peratus. Sebabnya, Sepahtu pun tak ada filem, yang keluar setiap tahun. Patutnya ini peluang dia sebab mereka tengah peak.” 

“Dorang pun kena ada lagu dan album dan buat konsert. Sitkom je dorang dah ada.” 

Jelas Saiful Apek lagi, kepada pelawak yang mahu mencipta nama, mereka kenalah cari identiti sendiri, dah boleh kurangkan lawak meniru gaya, atau lawak konon tak dengar atau salah anggap orang cakap, mahu pun lawak bahan membahan, kerana itu semuanya dah tak fresh lagi.