Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2021 telah berlangsung semalam dan pelakon Rozita Che Wan antara yang paling menjadi perhatian ramai.
Rozita Che Wan yang lebih mesra disapa Che Ta hadir memakai pakaian yang unik bersama pereka fesyennya iaitu Ezuwan Ismail.
Baju dari Ezuwan Ismail itu memperlihatkan Che Ta menutup wajahnya dengan kain jaring berwarna hitam.
Ini sememangnya berbeza dengan imej Che Ta yang sebelum ini terkenal dengan gaya yang glamour serta solekannya.
Selain memakai jaring di wajah, baju yang dipakai Che Ta mempunyai batu berlian. Dari laporan Media Hiburan, diangarkan lebih kurang lima ribu butir batu digunakan. Harga baju berkenaan dianggar berharga RM50 ribu.
Baju berkenaan mengambil masa selama satu bulan untuk disiapkan sepenuhnya oleh Ezuwan Ismail.
Kata Che Ta dia ada sebab kenapa setuju untuk hadir ke majlis dengan pakaian yang dicipta oleh Ezuwan Ismail itu. Ini komennya melalui portal Media Hiburan.
“Saya dan Ezuwan memang kawan baik. Dan saya rasa permintaannya untuk saya berfesyen seperti ini bukan selalu. Jadi mengapa saya perlu menolak. Ia satu kelainan.”
Jelas Che Ta, dia masih mudah untuk bernafas walaupun memakai pakaian berkenaan.
“Pelitup muka itu guna kain jaring yang mempunyai lubang untuk udara. Memanglah saya boleh bernafas. Kalau guna kain bertutup semua tanpa ada udara, saya pun akan fikir banyak kali. Risau nanti semput pula saya jadinya.”
“Apa yang mencabar ialah saya harus kekal dengan gaya sedemikian sepanjang majlis. Tetapi sesekali orang tak payah tengok muka kita dalam acara macam ni, apa salahnya. Telefon bimbit pun saya terpaksa saya abaikan sepanjang majlis berlangsung.”
Rozita Che Wan juga sebenarnya merupakan salah seorang penyampai trofi di KLFA semalam.
Ramai mengatakan fesyen yang dikenakan oleh Rozita Che Wan dan Ezuwan Ismail ini membuat ramai teringat dengan pakai Kim Kardashian baru-baru ini.