Penyanyi yang juga bekas juara pertandingan reality Akademi Fantasia musim kedua iaitu Zahid Baharudin kini selamat bergelar suami.
Zahid selamat diijabkabulkan dengan pasangannya bernama Yaya atau nama sebenarnya Nurul Shuhada. Majlis pernikahan diadakan di sebuah masjid di Pulau Pinang iaitu Masjid Terapung Penang.
Pernikahan diadakan pada hujung minggu yang lalu, dan majlis berjalan lancar dihadiri keluarga terdekat.
Pada hari Jumaat sebelum itu, Zahid baru saja selesai mengadakan persembahan di pentas final Maharaja Lawak Mega 2021.
Zahid bersama kumpulan Bahye membuat persembahan yang mantap dan mendapat 5 ha namun hanya mendapat tempat keempat, dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM50 ribu.
Kemudian Zahid terus bergerak ke Pulau Pinang dan pada hujung minggu mengadakan majlis akad nikah. Pasangan ini bernikah pada 19 Disember 2021.
Mereka mengadakan persandingan dan majlis jamuan makan di sebuah homestay di Bukit Gambir, Pulau Pinang.
Zahid ada muatnaik beberapa foto di Ig story miliknya dan antara caption ialah memberi salam kepada isteri barunya itu.
“Assalamualaikum isteriku, Yaya Urasya.” Tulis Zahid sambil tag IG milik isterinya.
Di laman Instagram HLive, turut dimuatnaik gambar perkahwinan Zahid dan isterinya itu, dan terus menerima banyak ucapan tahniah dari orang ramai dan juga rakan artis.
Antara yang memberi ucapan ialah Aznil Nawawi, Haniff Hamzah (Era FM), Khai Rosma, dan pelakon terkenal Fauziah Nawi.
Ini pula komen dari para peminatnya: “Tahniah lepas menang Maharaja Lawak mega terus kahwin. Selamat pengantin baru, cantik wife Zahid.”
“Tahniah Zahid dan pasangannya, semoga hubungan berkekalan sampai ke syurga.”
Sementara itu, ada juga peminat yang tak tahu status Zahid sebelum ini lantas bertanya, bukankah Zahid dah berkahwin sebelum ini.
Sebenarnya, Zahid memang dah pernah berkahwin dengan wanita bernama Sarah Julifa pada tahun 2015, namun hubungan mereka tak berkekalan dan telah berpisah pada tahun 2019. Mereka mempunyai seorang anak.
Tahniah buat Zahid Baharuddin dan juga isteri, semoga bahagia selalu.