“Rumah saya dah ada pembeli” Dapat duit, Shuk mahu langsaikan segala hutang

7,641 views

Pelawak Shuk menerima berita baik apabila rumah yang berharga lebih dari RM1 juta, kini sudah ada yang berminat.

Malah Shuk memberitahu, individu berkenaan telah pun membayar wang pendahuluan untuk memiliki rumah berkenaan.

Rumah itu merupakan rumah jenis dua tingkat dan ianya terletak di kawasan perumahan Elmina Fererra, Denai Alam, Shah Alam.

“Syukur sangat, rumah saya kini dah ada pembeli dan dia pun telah membayar wang pendahuluan. Dia dah contact ejen yang dilantik untuk urusan jual beli tersebut.”

Tentang keputusan menjual rumah berkenaan, Shuk akui dah tak mampu nak tanggung kerana banyak komitment.

“Sebenarnya saya tak mahu nak komen panjang lebar. Sama seperti yang saya cakap di sesi siaran langsung baru-baru ini, memang saya amat memerlukan wang dan mahu buat benda baru.”

“Sayang betul nak jual rumah itu, tetapi saya takut tidak mampu nak tanggung komitmen. Itu merupakan jalan terbaik.”

Antara komitment yang perlu dilangsaikan ialah membayar LHDN dan juga hutang card credit.

“Betullah, saya dah bertekad. Kalau tak nanti rumah kena lelong pula, lagi macam-macam hal. Baik saya let gi saja lah dulu. Wang yang dapat itu nanti saya mahu langsaikan semua hutang macam kad kredit dan juga LHDN.”

Kerjaya seni Shuk memang semakin suram. Sejak tidak lagi bersama Hot FM, Shuk juga sudah tidak terlibat dalam banyak rancangan. Katanya, jika boleh dia mahu kembali ke dunia seni jika diberi peluang.

“Saya harap sangat jika ada peluang dalam industri lagi, saya nak bekerja. Siapa yang tak mahu terus berkerja.”

Tentang punca pendapatan, Shuk kini dilihat sedang berusaha keras untuk memajukan dan mengusahakan perniagaan kedai minuman miliknya.