Anggap Tyzo macam adik, DJ Lin sedih “Tak sangka Tyzo tergamak cakap sedemikian”

1,193 views

DJ Lin akui amat terkejut apabila Tyzo telah berkata satu ayat yang tular iaitu Kak Lin terima kasih di atas penganiayaan. 

Ianya disebut oleh Tyzo di saat akhir sebelum melangkah keluar dari konti Suria FM di hari terakhirnya. 

Ketika berada di sidang media semalam, DJ Lin telah mengulas lebih lanjut tentang ucapan Tyzo itu. 

Menerusi laporan Harian Metro, DJ Lin tak sangka Tyzo akan tergamak berkata seperti itu kepadanya. 

“Apabila dia cakap sedemikian di depan muka saya, dah tentu saya tergamam sebab ayat itu keluar dari mulutnya, bukan saya saja tergamam semua yang ada di konti pun tergamam.”  

“Saya memang sedih kerana tidak tahu apa masalah Tyzo sampai sanggup keluarkan perkataan berkenaan.”  

“Tyzo saya dah pun anggap macam adik saya sendiri sebab kami dah kenal sejak tahun 2006 semasa sama-sama kerja di Suria pada tahun 2006. Pada tahun 2012 kontraknya telah tamat.” 

DJ Lin berkata, apabila dia menjadi pengurus besar di Suria, antara langkah awal ialah dia mengambil Tyzo berkerja semula di Suria.  

“Pada tahun 2016, saya dilantik sebagai Pengurus Besar Suria FM, antara langkah pertama saya buat adalah memanggil semula Tyzo berkerja.” 

Tentang dakwaan bahawa dirinya iri hati apabila Tyzo memenangi penyampai radio paling popular di ABP, DJ Lin telah menafikannya.   

“Iri hati tu tak ada. Yang tentukan barisan pencalonan tu bukan saya, semua keputusan dibuat pengurusan tertinggi.”  

“Selepas berakhir majlis anugerah itu, saya ada arahkan staf saya untuk raikan kejayaan Tyzo di laman media sosial sebabnya kami pun berbangga dengan hasil kejayaan dari Suria FM.”  

“Saya pun meminta kakitangan untuk anjurkan majlis kejutan sempena kejayaan Tyzo.” 

“Malah, saya pun ada ucap kejayaan Tyzo yang menang anugerah itu.” 

Buat masa sekarang DJ Lin masih lagi belum mampu bertemu dengan Tyzo.  

“Jikalau dia mahu berjumpa, untuk sekarang ni, biarlah antara dia dengan pihak pengurusan atas Suria FM.” 

Tambahnya lagi, dalam pasa seminggu yang lalu, dirinya lalui pengalaman dihentam dengan begitu hebat, dan ini antara yang paling besar dalam hidupnya. 

“Saya ni dah lali dengan kecaman, tapi dalam seminggu ini, ini yang paling hebat. Namun saya minta jangan libatkan anak-anak saya, cakaplah tentang saya saja.” 

Itulah sedikit jawapan dari DJ Lin berkenaan kes Tyzo. 

DJ Lin dan juga Cik Pia telah diumumkan sebagai dua orang penyampai radio paling tinggi prestasi di Suria FM oleh bos besar Dato Amin semalam.