Ashira terlalu terkejut berita pemergian Bad Indigo

4,596 views

Penyanyi dari kumpulan Indigo iaitu Badrul Izhan yang lebih dikenali dengan nama Bad Indigo telah pun menghembuskan nafas terakhirnya semalam. 

Arwah Bad, 48 tahun, antara peserta yang menyerikan pentas Gegar Vaganza musim ke tujuh bersama kumpulan Indigo. 

Di pentas itu juga, arwah telah berkenalan dengan seorang lagi peserta iaitu Ashira dan akhirnya mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri pada tahun 2021. 

Namun hubungan perkahwinan mereka tak berkekalan apabila pasangan ini berpisah pada tahun 2022. 

Menerusi satu laporan, bekas isteri, Ashira Aziz memang tergamam apabila mengetahui berita pemergian bekas suaminya itu. 

Ashira, 38 tahun berkata, dia menggigil menerima berita duka tersebut. 

“Saya terus menggigil apabila dapat tahu. Badan terus jadi kaku dan rasa melayang. Saya tak boleh nak cakap kerana diri memang amat terkejut.” 

Sepanjang menjalin hubungan dan pernah menjadi suri hati Bad, Ashira mengatakan, semua itu kenangan yang amat manis.  

“Mengenali arwah merupakan satu kenangan manis.”  

“Semua pun tahu, kami kenal ketika bersama di Gegar Vaganza musim ke tujuh.”  

“Masa tu pun dia dah sakit dan lepas kahwin pun kami banyak luangkan masa bersama di rumah saja.” 

Bagi Ashira, bekas suaminya itu seorang yang lucu tapi tetap tegas.  

“Arwah ni seorang yang amat kelakar tapi dalam masa sama dia ada sikap tegas.” 

Tentang hubungan selepas berpisah, Ashira berkata, sejak akhir ini, dia dah lama tak hubungi Bad.   

“Selepas kami berpisah, saya ada melawatnya di tempat kerja. Namun lama-lama kami dah tidak berhubung lagi. Saya pun tidak bertanya khabar padanya.” 

“Saya tengok perkembangan dia hanya di laman media saja. Jika tengok video dia, memang nampak dia gembira dan sihat. Memang tidak disangka sangka arwah pergi secara tiba-tiba.” 

Itulah sedikit kenyataan dari Ashira, bekas isteri arwah Bad Indigo.