Ashraf Sinclair pergi buat selamanya, ini keadaan terkini Bunga Cinta Lestari

7,192 views

Ashraf Sinclair seorang pelakon kacak kacukan dari Malaysia yang amat terkenal di Indonesia selepas dia berkahwin dengan penyanyi popular iaitu Bunga Citra Lestari serta berhijrah ke sana.

Satu berita yang amat mengejutkan dunia seni tanah air Malaysia dan Indonesia hari ini dengan berita Ashraf yang kini berumur 40 tahun, telah pergi buat selamanya.

Punca pelakon ini menghembuskan nafasnya yang terakhir adalah kerana serangan jantung, yang dikatakan terjadi lebih kurang pukul 4 pagi tadi dan berita itu telah di sahkan oleh pengurus kepada Bunga Citra Lestari.

Dikatakan bahawa Ashraf sedang tidur semasa serangan jantung itu berlaku dan kemudian dibawa ke Hospital MMC, Jakarta, Indonesia.

Jenazah Ashraf Sinclair dikatakan telah tiba di kediaman mereka di kawasan Pejaten Barat, Jakarta Selatan, Jakarta, jam 7.33 pagi tadi (waktu tempatan).

Menerusi satu laporan wartawan dari portal negara jiran yang berada di kediaman keluarga, sebaik Bunga Citra Lestari turun dari van jenazah, jelas kelihatan raut wajah penyanyi popular ini amat sedih, kelihatan pucat dan matanya dilihat sembab. Bunga hanya berdiam diri dan saat tiba dia terus masuk rumah tanpa membuat sebarang kenyataan. Pihak keluarga ternyata terkejut dengan berita ini.

Rumah mereka kini dijaga ketat beberapa petugas yang berpakaian hitam, petugas dan pihak wartawan dilihat memberi ruang dan privasi buat mereka sekeluarga buat masa ini untuk menghormati mereka.

Banyak selebriti Indonesia seperti Dian Sastrowardoyo, Agnes Monica, Melly Goeslow dan juga Laudya Cynthia Bella telah mengucapkan takziah di laman Instagramnya dan menurutnya lagi dia masih tidak percaya perkara ini akan terjadi.

Mereka semua berduka dengan berita yang melanda rakan mereka, Bunga Citra Lestari.

Di Malaysia juga, ramai rakan artis yang mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga ini.

Nama Ashraf sebelum ini popular di Malaysia namun setelah berkahwin dengan Bunga Citra Lestari, nama pelakon ini menjadi sebutan di negara jiran pula.

Untuk pengetahuan, Ashraf Sinclair juga merupakan abang ipar kepada penyanyi popular iaitu Yuna. Pelakon ini juga merupakan abang kepada pengacara radio dan model iaitu Aishah Sinclair.

Ashraf telah mendirikan rumah tangga dengan BCL pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta dan hasil perkongsian hidup mereka mempunyai anak lelaki yang bernama Noah yang kini berusia 10 tahun.

Sebelum ini, Bunga Citra Lestari mendedikasikan lagu Wanita Terbahagia buat Ashraf Sinclair. Takziah buat keluarga ini.