Pemergian pemain bass kumpulan Spider, Tony membuat ramai yang terkejut. Rupanya Tony sebelum ini bagaikan ada memberi hint untuk mengehembuskan nafas terakhir kepada kawab naiknya Tam Spider.
Menerusi satu laporan Harian metro, Tam Spider ada bertemu Tony dua hari sebelum Tony ditemui tidak lagi bernyawa.
Malahan beberapa hari lalu, Tony ada meminta maaf kepada Tam secara tiba-tiba.
“Arwah Tony ada beritahu saya dia nak pergi. Lepas tu dia pun ada minta maaf di atas semua salah silap dia sepanjang berkawan.”
“Saya mulanya malaslah nak layan kata-katanya. Saya tahu apa yang dimaksudkan tapi saya malas nak layan perasaan sedih dia ketika itu.”
“Lepas itu kami sembahyang Maghrib berjemaah bersama seorang lagi rakan. Kemudian Tony ada minta saya datang lagi esoknya. Esoknya saya datang tapi tak sempat sembahyang Maghrib sebab dah lewat. Saya bawa makanan untuk dia. Selalu saya bawa makanan untuk dia, memang saya sentiasa dengan dia sehingga hujung usianya.”
Tam mengatakan Tony memang ada kencing manis yang agak teruk dan dia hidup seorang diri jadi tidak ada yang memantau pemakanan serta ubatannya.
“Saya sedih dengan berita ini, tetapi sepanjang hidup, saya puas dapat berkawan dan bersama dengannya. Saya percaya Tony pergi sebab sakitnya itu. Dia menghidap kencing manis dan di bahagian tapak kakinya dah ada luka.”
“Dia kata memang dah tak dapat rasa bahagian luka itu dan ia beri kesan pada buah pinggang serta jantungnya.”
“Tony memang ada makan ubat namun ikut cara dia. Kadangkala dia makan dan ada masa dia tak makan. Dia kan hidup solo jadi tak ada orang nak pantau dan ambil berat. Semuanya usaha dia sendiri.”
Arwah Tony ditemui tak sedar diri di dalam biliknya di studio Luncai Emas oleh seorang jurutera muzik, Hanafi. Dikatakan Tony telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 1 pagi.
Tony mempunyai bilik persendirian di studio berkenaan kerana dia bekerja di situ untuk buat muzik dan juga bikin lagu.
Sebelum ini arwah Tony pernah berkahwin, namun tak tahan lama dan tiada zuriat.
Jenazah Tony masih berada di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan akan dikebumikan setelah procedure selesai.