Mahkamah arah harta rumah Sajat di Kota Damansara disita, dilelong

8,141 views

Ini berita terkini melibatkan Sajat. Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengeluarkan satu arahan agar harta milik Nur Sajat atau nama penuhnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, untuk disita.

Ini langkah yang diambil sebagai tuntutan pampasan berjumlah RM200ribu yang telah gagal dibayar oleh Sajat kepada bekas stokis utamanya, iaitu syarikat Owa Resources Sendirian Berhad.

Perintah untuk sita harta Sajat dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Wahida Mohd Nor yang membenarkan permohonan dari pihak Owa Resources.

Keputusan berkenaan dibuat setelah Sajat didapati tak beri maklum balas untuk membayar semula pampasan kepada Owa Resources.

Proses menyita dan penjualan harta Sajat akan dibuat pada jam 10 setengah pagi di kediaman Nur Sajat yang beralamat di Kota Damansara, Selangor.

Jika pihak defendan tak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada tarikh 14 Disember, hujung tahun ini.

Harta-harta yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus semula pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.

Malahan proses penyitaan kepada aset lain milik Sajat juga akan dibuat jika hasil pungutan lelongan itu tak cukup untuk bayar segala pampasan serta hutang saman.

Writ untuk dan penjualan telahpun ditampal di premis milik Sajat.

Sebelum ini, telah dilaporkan bahawa Sajat bakal disenarai sebagai individu muflis setelah pemfailan pemiutang dilakukan terhadapnya di Mahkamah Tinggi bulan Oktober lepas.

Ianya sebagai langkah terakhir untuk tuntut pembayaran RM200 ribu kepada Owa Resources yang merupakan bekas stokis utama bengkung milik Nur Sajat.

Petisyen berkenaan difailkan setelah notis kebankrapan yang telah dikeluarkan kepada Sajat langsung  tak ada sebarang maklum balas.

Dari perintah bankrap, Sajat boleh diumumkan sebagai muflis dan segala aset termasuk rumah dan akaun bank miliknya akan diuruskan oleh Jabatan Insolvensi.

Buat masa sekarang, Nur Sajat dikatakan sedang berada di Australia sebagai pelarian.