Mahkamah arah influencer terkenal, Eira Aziera bayar saman RM100ribu kepada seorang wanita

7,652 views

Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memerintahkan influencer terkenal tanah air Eira Aziera atau nama sebenarnya Noorazira Pissal untuk membayar ganti rugi berjumlah RM100 ribu dan kos guaman sebanyak RM30 ribu kepada seorang wanita bernama Suharnizan Md Sidek.

Ini ekoran satu kes yang mana Eira Aziera dikatakan telah mengata fizikal wanita tersebut, yang menjadi viral tak lama dulu.

Dari laporan Harian Metro, keputusan berkenaan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim.

Ianya setelah Suharnizan menfailkan tuntutan saman terhadap Eira Aziera kerana dakwaan muatnaik gambarnya dan mengata bentuk fizikalnya kepada umum.

Peguam yang mewakili Suharnizan iaitu Mohd Rasheed Hassan menambah, keputusan dari pihak mahkamah itu dibuat setelah perbicaraan penuh dijalankan selama lima hari dari tarikh 24 sampai 28 Oktober 2021 secara online.

“Mahkamah telah memerintahkan Noorazira iaitu Eira Aziera untuk menyiarkan permohonan maaf yang jelas tanpa syarat dalam semua akaun media sosial miliknya dan hendaklah dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiarannya.”

“Selain daripada itu, pihak mahkamah juga telah memutuskan bahawa Suharnizan melalui pihak peguamnya, telah berjaya membuktikan tuntutannya dan selepas kesemua elemen yang berkaitan dipenuhi.”

Diimbas kembali, kes ini bermula pada bulan Oktober 2020 apabila Suharnizan telah memfailkan saman dengan menuntut lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa memperkatakan tentang fizikalnya.

Dari komen peguam Mohd Rasheed, beliau berharap kes itu akan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tak mengeluarkan sebarang kenyataan sesuka hati di dalam laman media sosial.

Eira Aziera seorang usahawan yang sering buat live di laman Facebook yang kini mempunyai lebih 400 ribu orang pengikut. Eira Aziera sebelum ini banyak kali viral dan antara yang pernah jadi isu ialah kes Kedai Makan 35 di Melaka.