Atu Zero jatuh rebah, dikejarkan ke hospital

11,560 views

Pelawak yang juga ahli kumpulan Zero iaitu Atu telah dikejarkan ke hospital setelah jatuh rebah.

Kejadian berlaku sebaik sahaja Atu selesai saja menunaikan solat waktu Isyak malam tadi. Setelah rebah, Atu kemudian dibawa ke bahagian kecemasan di hospital pakat KPJ Shah Alam.

Hal ini telahpun disahkan oleh isteri kepada Atu iaitu Shafeeqa Johari.

Jelasnya, doktor memberi diagnosis bahawa Atu terkena serangan strok haba atau heat stroke.

Pelawak ini kini sedang dirawat di hospital buat beberapa hari. Ini kenyataan dari Shafeeqa.

“Mulanya ingatkan dia penat sebab memang satu hari suntuk Atu jalani penggambaran semalam. Lepas je sembahyang Isyak, dia duduk lama, lepas tu saya nampak tiba-tiba dia pitam dan rebah depan saya.”

“Saya cepat-cepat bawanya ke hospital dan kemudian doktor sahkan dia kena serangan strok haba. Mengikut penerangan doktor, badan Atu kurangan air sebab cuaca amat panas sekarang ni.”

“Kata doktor lagi, strok haba ni merbahaya dan antara kesannya sampai boleh buat badan lumpuh kalau tak dapatkan rawatan dengan segera.”

“Sebenarnya, Atu pernah cakap dia tak dapat rasa separuh tangannya sebelum ini.”

Tentang keadaan terkini Atu, Shafeeqa menjelaskan suaminya dalam keadaan stabil dan jika semuanya okey, kemungkinan Atu boleh keluar pada hari ini.

“Pihak doktor dah pun beri rawatan dan masuk air sebanyak dua botol ke dalam badannya. Mungkin, hari ini juga dia diberi kebenaran untuk keluar wad.”

“Akan tetapi, Atu sekarang kena rehat lebih kurang tiga hari sebelum boleh bekerja semula. Sebenarnya Atu selalu fikir komitmen kerjanya yang tertangguh, tapi sekarang ni dia kena rest.”

Shafeeqa turut ada meluahkan rasa sayu melihat suaminya itu dan berkata memang Atu ni kuat kerja sehingga badan dah burn out.

“Tuhan tahu kamu kerja amat kuat. Dia suruh rehat kejap. Tak apa nanti ada rezeki lain. Suami orang yang paling kuat dalam rumahtangga.”

Atu dijangka akan tampil dalam rancangan Muzikal Lawak Superstar yang dijadualkan bermula Jumaat ini. Atu berganding dengan Fad dan juga Fakhrul dari kumpulan nasyid Unic.