“Dulu dia paling rasa struggle, kini dia paling happy” Anak sulung Elyana paling gembira

3,693 views

Berita baik buat penyanyi Elyana, 34 tahun, apabila doktor memaklumkan bahawa dirinya kini sudah bebas dari kanser limfoma tahap empat yang dialaminya.

Sebelas tahun menghidapi limfoma, ini satu detik yang paling gembira buat Elyana dan juga keluarganya.

Antara yang paling gembira ialah anak sulungnya iaitu Cinta Sumayyah, yang kini berumur 11 tahun.

Sebaik saja menerima khabar baik dari doktor, Elyana terus menyampaikan berita berkenaan kepada ahli keluarganya.

Elyana memberitahu suaminya, Khairul Anuar, anak sulung Cinta Sumayyah, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani. Kata Elyana yang paling terkesan ialah anak pertamanya Cinta Sumayyah.

“Syukur sangat, anak-anak pun dah tahu sejak kelmarin dan semua sangat happy, terutamanya anak sulung Cinta kerana dia pun dah besar. Dia pun lebih faham, sebab sudah mengetahui penyakit saya ini sejak dia kecil.”

Elyana turut bercerita kisah kepayahan anaknya itu sejak dirinya kena limfoma.

“Dia juga sebelum ini biasa kena tinggal di rumah orang lain seperti tinggal di rumah kawan-kawan saya, menumpang ketika saya pergi ke hospital. Kadangkala kawan saya juga yang bantu hantar dan ambil dia dari sekolah.”

“Boleh cakap, dia memang turut merasa strugglenya sepanjang saya kena limfoma ini. Dan sudah tentu dia adalah insan paling gembira. Dan semasa saya dah pulang ke rumah, Cinta masih lagi bertanya beberapa kali, betulkah bonda dah tak sakit, dah tiada kanser lagi dalam badan.”

Elyana turut menjelaskan beberapa kali kepada anaknya itu, memang dia sudah bebas kanser.

“Saya cakap beberapa kali padanya, syukur sangat, dah tak ada. Ini semua kerana Cinta selalu solat serta selalu doakan bonda.”

“Memang nampak, Cinta sekarang amat gembira sangat seronok sebab dia rasa sudah dapat bondanya semula macam orang lain.”

“Dulu walaupun saya nampak secara luaran sihat tapi memang saya tak dapat nak temankan dia, contoh kalau datang hotel dan mandi di swimming pool. Saya tak dapat nak teman dia dan kadang-kadang hanya duduk di bilik sebab saya tak larat.”

“Harap kali ini boleh berubah, boleh makan sama-sama dengan dia. Dulu kadangkala dia makan seorang diri saja kerana saya tak boleh makan dan tengok, selalu ada rasa nak muntah.”

Syukur buat Elyana sebab dah pulih, semoga sentiasa berada dalam keadaan yang sihat.