Penyanyi yang meningkat naik namanya setelah menyertai Gegar Vaganza iaitu Ashira Aziz telah terpilih mewakili Malaysia untuk satu pertandingan nyanyian antarabangsa.
Ashira yang kini merupakan isteri kepada BadIndigo berkata, dia memang terkejut dan tidak sangka boleh terpilih untuk beraksi di World Champions Of Performing Arts atau WCOPA.
Pentas ini akan diadakan di Amerika Syarikat pada bulan Julai tahun ini.
Ashira telah berjaya melepasi saringan dan uji bakat, dan terpilih mewakili negara dalam kategori Vocal Senior. Ini komen penyanyi berumur 37 tahun ini.
“Syukur sangat dengan rezeki ini, alhamdulillah. Memang amat gembira setelah terpilih untuk bertanding untuk kategori Vocal Senior. Mulanya hanya suka-suka masuk uji bakat, lepas tu tak sangka dapat.”
“Keputusan baru diumumkan semalam, dan saya bersama empat lagi peserta telah terpilih mewakili negara.”
Sungguhpun menerima berita gembira ini, akan tetapi ada sesuatu yang membuatkan Ashira pening kepala, iaitu dia kena cari dana sendiri sebanyak RM30ribu. Jumlah itu merupakan untuk perbelanjaannya di negara berkenaan.
“Sekarang saya kena cari dana sendiri untuk duit belanja ke Amerika. Saya sedang tunggu surat sokongan dan kena usaha kumpul dana lebih kurang RM30ribu.”
“Harap ada yang sudi untuk membantu saya kumpul dana ini. Saya ke Amerika pun untuk bertanding dan bawa dan mengharumkan nama Malaysia. Sesiapa yang percaya dengan bakat saya, harap dapat tolong dan bantu saya.”
Ini satu peluang seumur hidup buat Ashira, dan dia akan usaha bersungguh-sungguh.
“Terima kasih buat semua orang yang doakan urusan saya untuk dipermudahkan. “
Sebelum ini, selain Ashira, antara nama besar yang pernah menyertai pertandingan ini ialah arwah Siti Sarah, Bob Yusof, Asmidar dan Aina Abdul. Kesemua mereka meraih gold medal.