“Kita silap, taubat” Rosnah Mat Aris

4,035 views

Antara pelakon veteran yang masih lagi mendapat tawaran berlakon ialah Rosnah Mat Aris. Dulu pernah jadi bualan ramai dengan style yang ranggi sampai mewarna rambut. Namun kini Rosnah Mat Aris dah bertudung litup.

Di usia sudah masuk 67 tahun, Rosnah berkata jika dia ada buat salah, dirinya akan terus bertaubat saja.

Pernah dikenali sebagai seorang yang mulut tak bertapis dan cakap lepas, kata Rosnah Mat Aris, dia tak kisah dengan apa tanggapan orang. Asalkan dia mengadu pada Allah yang maha esa. Ini temubual antara Rosnah dengan wartawan dari Utusan.

“Suka hati orang lah nak cakap apa dik. Kita ni kan manusia, akan ada saja orang yang rasa tak puas hati. Dosa orang lain dia akan nampak, diri sendiri punya, tak nampak.”

“Kita ni tak sempurna. Tetapi kalau ada orang yang mahu ambil kerja Tuhan. Lantaklah. Kita silap, taubat. Bukan tahu buat saja.”

“Adakah saya sedih bila kena macam-macam dengan warganet, sebenarnya, tak pun. Baik saya mengadu kepada Allah. Cakap orang ni, biasa-biasa saja, saya jenis yang tak kisah.”

“Lebih baik takut pada Allah, bukannya kepada manusia. Apa yang berlaku, antara saya dengan Dia. Segala khilaf, saya bukan sengaja. Saya dah minta ampun.”

“Yang Maha Esa sentiasa tahu apa dalam hati saya, niat saya. Apa yang berlaku ada sebabnya.”

Kisah perkahwinan Rosnah Mat Aris juga pernah trending satu masa dulu apabila berkahwin dengan jejaka muda bernama Tajul Efendie Isa.

Betapa jauh umur mereka, ada mengatakan perkahwinan itu tak akan berkekalan. Namun semuanya jelas tak benar.

Rosnah Mat Aris kini bahagia bersama suaminya itu, sudah 14 tahun berkahwin.

“Syukur sangat, alhamdulillah, tahun ini sudah masuk 14 tahun saya berkahwin dengan suami. Sebelum kahwin dulu, saya memang doa dan minta kepada Allah, kalau dia nak bagi jodoh, saya terima. Tetapi hadirkanlah insan yang tidak akan menyusahkan diri saya ini.”

“Memang ramai yang cakap macam-macam masa saya kahwin dulu, sebab kahwini lelaki muda, tapi jodoh dah datang, dan saya pun terima.”

Mengenang kembali di saat mula bergelar pelakon, Rosnah Mat Aris akui, dia bukannya minat sangat pada mulanya, cuma mahu mencari rezeki saja.

“Saya suka berniaga. Tak pernah terfikir nak jadi seorang pelakon. Memang langsung tak ada terbuka hati. Tapi kan semuanya merupakan kuasa Allah. Akhirnya rezeki saya ada di dalam industry seni ini.

“Ada satu masa tu, Allahyarham Hasnah Ibrahim minta saya jadi pelakon ekstra. Saya mulanya tolak berkali-kali. Kemudian dia merayu dan minta tolong. Oleh itu saya penuhi.”

“Sebanyak tiga kali ajakan dia. Akhirnya, Allah ketuk pintu hati saya. Tiba-tiba rasa suka itu timbul. Barulah terdetik dalam hati. Jika tak, memang saya tak jadi pelakon.”