Semua kenal dengan Mat Salleh yang menjadi selebriti di Malaysia iaitu Mat Dan. Terkenal sebagai pengacara dan juga penyampai radio, Mat Dan, 32 tahun kini amat selesa di Malaysia.
Mat Dan mula menetap di tanah air sejak umurnya 19 tahun lagi. Kini beliau telah pun berkahwin dengan wanita tempatan, Nadifa Adnan dan mempunyai keluarga, dua orang cahaya mata.
Berkata tentang kampung halaman, Mat Dan mengatakan, ibu bapa yang berada di England, tak ada meminta dirinya balik dan duduk semula di kampung halamannya di Bristol.
Jelas Mat Dan, ibu bapanya memang tak mahu gaya hidupnya berubah semula seperti dulu jika pulang ke England.
Ini komennya kepada Harian Metro.
“Jika saya nak pulang ke England, saya kena bina hidup semula dari bawah. Berbeza dengan rakan-rakan saya kat sana, semua pun sudah berada di atas, ada hidup masing-masing.”
“Bila saya luah rasa rindu kampung halaman, ibu bapa suruh saya selalu minta saya fikir masak-masak. Mereka bukannya tak nak saya pulang ke sana, tetapi mereka memang nampak perbezaan ketika saya menetap di Malaysia berbanding kehidupan saya di England sebelum ini.”
“Hidup saya sebelum datang Malaysia, memang tak menentu. Bukanlah buat benda tak elok, tapi tak seberapa dan mereka tak mahulah hidup saya jadi seperti dulu semula kalau saya ambil keputusan untuk pulang.”
“Tetapi kita tidak tahu, mungkin jika anak-anak saya dah besar nanti kalau nak bersekolah di sana contohnya. Jadi, saya tak boleh nak menolak.”
tentang kerjayanya, Mat Dan kini merupakan penyampai radio untuk station Molek FM sejak awal tahun 2022. Katanya ini merupakan pekerjaan tetap pertamanya.
“Dulu bila ada perintah kawalan pergerakkan, saya hilang banyak pekerjaan sampai buntu. Saya ada anak dan isteri yang perlu ditanggung.”
“Jadi saya kata tak boleh terus macamni, kena cari kerja yang stabil dan tetap. Dah 13 tahun di Malaysia, ini pertama kali saya dapat kerja yang betul-betul tetap.”