Kes culik kanak-kanak 6 tahun, Albertine, polis tahan 3 individu

245 views

Seorang kanak-kanak berumur 6 tahun dilaporkan telah hilang di sebuah pusat membeli belah pada hari Sabtu yang lalu. 

Kejadian berlaku di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor. 

Kanak-kanak perempuan bernama Albertine Leo Jia Hui, disedari hilang oleh bapanya semasa berada di shopping mall berkenaan sekitar jam 8 malam lebih. 

Keluarga Albertine berada di sana untuk menyertai festival Jepun, Bon Odori. 

Ibunya menjual minuman di festival berkenaan.  

Mereka datang dari Kluang ke Johor Bahru selama beberapa hari untuk sertai festival berkenaan. 

Albertine, berketinggian lebih kurang 120cm, dengan berambut panjang, dan kali terakhir memakai T shirt putih dengan gambar Mickey Mouse dan berseluar pendek. 

POLIS TAHAN 3 INDIVIDU 

Dalam perkembangan terkini, pihak polis telah menahan tiga individu untuk menyiasat kes berkenaan. 

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar memberitahu, kesemua tiga individu berkenaan merupakan warga tempatan. 

Mereka ditahan di Gelang Patah, jam 1.30 tengah hari. 

Ini kenyataan dari polis. 

“Kesemua mereka berumur lingkungan 28 hingga 55 tahun ditahan untuk bantu siasatan.”  

“Kes ini telah diklasifikasikan kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.” 

“Siasatan lebih lanjut masih dijalankan dan ketiga-tiga individu itu akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.” 

Polis juga menyarankan agar orang ramai yang ada maklumat untuk salurkan infomasi berkenaan kepada pihak berkuasa. 

Dalam pada itu, dua anjing pengesan dari Unit K9 Polis juga digunakan untuk membantu mengesan kanak-kanak itu. 

KENYATAAN IBU ALBERTINE 

Ibu kepada kanak-kanak berkenaan dalam keadaan terkejut dan amat sedih.  

Malah sehingga kini, ibu Albertine tak lalu untuk makan dek kerana risau. 

Leo Qieo Xin, yang berumur 37 tahun, berkata, dia amat risau dan khuatir dengan keadaan anaknya. 

Jelasnya, dia tak mahu orang ramai buat cerita atau andaian tentang kehiloangan anaknya itu yang merupakan anak ketiga dari empat adik beradik.   

“Saya sangat kecewa  apabila banyak berita tak tepat tentang hal kehilangan anak saya. Tolonglah hentikan. Saya sangat sedih dengan kejadian ini, saya tidak selera makan kerana terlalu risau.” 

Ini ekoran ada desas desus mengatakan kelihatan kelibat Albertine di beberapa lokasi termasuklah di imegresen, namun semuanya hanya berita tak sahih saja. 

GANJARAN DIBERIKAN 

Sehingga kini ada pelbagai pihak yang cuba membantu untuk mencari kanak-kanak ini,  

Ada pihak yang menawarkan wang ganjaran berjumlah sehingga RM50ribu jika memberi maklumat. 

Semoga adik Albertine Leo Jia Hui akan berjaya ditemui dalam keadaan yang selamat.