Mahkamah putuskan bahawa Serina Redzuawan hilang hak jagaan anak keduanya

10,273 views

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah membuat keputusan dan memberi perintah bahawa hak penjagaan kekal anak kedua pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, diberikan kepada bekas suaminya. 

Anak kedua Serina iaitu Isabella Saffiya O’luanaigh yang kini berumur 12 tahun, akan dijaga sepenuhnya oleh bapanya, bekas suami Serina Redzuawan iaitu Gavin Edward O’luanaigh atau nama mualafnya, Salahudin Ghafar. 

Hal ini disahkan oleh peguam syarie kepada Gavin iaitu Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. 

Keputusan pihak mahkamah itu dibuat setelah satu temubual diadakan kepada Isabella sendiri dalam satu prosiding di depan hakim. 

Ini kenyataan dari pihak peguam kepada Gavin.  

“Pihak mahkamah telah menyatakan keputusan berkenaan setelah satu sesi interview dengan Isabella tentang pilihannya untuk tinggal dengan siapa. Sesi interview itu berlaku selama hampir 30 minit.”  

“Selain dari itu, pihak mahkamah juga telah mendengar keterangan dari pihak Gavin dengan hujahan.” 

Dikatakan sebelum ini pihak mahkamah memberi hak penjagaan anak kedua kepada Serina Redzuawan namun anak kepada Datuk Chef Wan itu tak pernah tinggal bersama Serina. 

Anak pertama mereka iaitu anak lelaki bernama Tristan Tareef O’luanaigh, 13 tahun, memang sebelum ini diberikan hak penjagaan kepada Gavin. 

Ketika prosiding, Gavin ada menyatakan kepada mahkamah, dia percaya Serina kini sudahpun menetap di Perlis setelah kahwin baru. 

“Dengan keputusan pada hari ini, hak penjagaan kedua-dua anak mereka iaitu Tristan dan Isabella kini diberikan kepada Gavin manakala Serina telah diberikan hak untuk melawat mereka dua minggu sekali.” 

Serina Redzuawan tidak hadir ke mahkamah untuk prosiding berkenaan walaupun telah dihantar saman kepadanya.   

Peguam memberitahu, Gavin Edward telah menfailkan tuntutan hak penjagaan anak pada tahun lepas dan antara hujahan ialah Serina telah berkahwin lain dan selalu berpindah tempat tinggalnya. 

Hujah Gavin Edward, setelah Serina Redzuawan berpindah mengikut suami ke Arau, Perlis, adalah sukar untuk bekas isterinay itu untuk laksanakan tanggungjawab menjaga anak perempuannya itu.