Nora Ariffin, Yusry Abdul Halim terima pangkat Datuk

3,011 views

Dua penggiat seni tanah air iaitu penyanyi Nora Ariffin, Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU telah diberi penghargaan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada hari ini.

Mereka berdua menerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan iaitu pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima pingat ini ialah penulis lirik terkenal Habsah Hassan.

Mereka semua antara 335 individu yang terpilih untuk menerima anugerah yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Tan Sri Annuar Musa memberitahu, pemberian anugerah ini merupakan satu pengahrgaan kepada para penggiat seni yang memberi sumbangan besar kepada negara dalam bidang masing-masing.

Namun begitu, tarikh bagi majlis penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan untuk tahun ini sedang ditentukan ekoran sedang berlakunya wabak pandemic yang menular di negara ini.

Nora Ariffin merupakan penyanyi yang popular dengan lagu seperti Dipersimpangan Dilema, Hanya Satu, Jentayu, dan Naluri Hadirlah Kasih.

Selain lagu pop dan balada, Nora turut mempunyai lagu genre irama Malaysia yang amat popular iaitu Desa Tercinta.

Yusry Abdul Halim pula tak perlu diperkenalkan lagi kerana merupakan antara anggota kumpulan KRU yang telah mencipta banyak fenomena tersendiri. KRU mempunyai banyak lagu hits sepanjang zaman antaranya Fanatik, Oh La La, Apa Saja, Awas, Terhangat Dipasaran dan banyak lagi.

Yusry yang juga merupakan suami Lisa Surihani turut pernah merakam lagu single seperti Dekat Padamu. Selain menyanyi, Yusry juga pernah berlakon banyak filem yang sukses seperti Cicakman, Mr Cinderella dan Cinta Kolestrol.

Habsah Hassan lebih dikenali dengan nama Kak Chah merupakan penulis yang amat hebat. Antara karyanya pernah dinyanyikan oleh Sudirman, Fransisca Peter, Erra Fazira dan ramai lagi. Beliau juga pernah menulis skrip dan producer filem seperti Soal Hati dan Qaisy dan Laila.