Nora Danish, Nedim Nazri sah bercerai talak satu

1,114 views

Pelakon Nora Danish dan Nedim Nazri kini disahkan telah berpisah pada malam tadi, Rabu. 

Mereka berdua bersetuju untuk berpisah dengan baik. 

Nedim telah melafazkan talak satu ke atas Nora Danis di depan Hakim dalam satu prosiding yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta sekitar jam 8 setengah malam tadi. 

Nora Danish dan Nedim Nazri hadir ke mahkamah bersama menaiki kenderaan MPV sekitar jam 7.40 malam. 

Di prosiding itu, Nedim hadir tanpa peguam sementara Nora hadir bersama peguamnya.   

Sebaik saja selesai prosiding, Nora telah bertemu pihak media dan memberi sedikit kata-kata setelah berakhirnya perkahwinan selama tujuh tahun yang dibina. 

Ini komen Nora menerusi laporan Berita Harian.  

“Saya dan bekas suami, Nedim dah mendapat persetujuan sama-sama untuk akhiri perkahwinan kami yang didirikan selama 7 tahun.” 

“Perkahwinan kami berakhir di sini, pada malam ini.” 

Kata Nora, hubungan dengan Nedim akan dijaga dengan baik demi membesarkan anak yang mereka kurniakan bersama.  

“Paling penting, tujuan kami kini adalah untuk besarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan positif.” 

“Oleh itu saya harap kalian semua dapat doakan yang terbaik untuk kami dan keluarga.” 

Sementara itu, Nora menambah, dia berharap tiada sebarang isu yang akan timbul selepas ini dari orang ramai.  

“Saya harap tak ada lah sebarang teori tentang perpisahan kami.”  

“Sebabnya kami amat pentingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak.” 

MASALAH KEWANGAN? 

Nora berkata, ada cakap-cakap yang mendakwa bahawa isu kewangan menjadi isu di antara mereka. 

Untuk hal ini, Nora dan Nedim menafikannya. 

“Saya menyangkal dakwaan bahawa ada masalah kewangan menjadi punca perpisahan ini.”  

“Kami dah tinggal berasingan sejak enam bulan lepas dan dah pun mencuba untuk menyelamatkan rumah tangga tetapi ianya tak berhasil.” 

“Hanya mampu merancang, namun Allah yang tentukan semuanya.” 

ANAK-ANAK DAH TAHU 

Tambahnya lagi, anak sudahpun dimaklumkan tentang perpisahan ini, dan oleh itu, mereka mahu menjaga hubungan yang baik sesama mereka. 

Malah, baru-baru ini, Nora dan Nedim turut luang masa bersama anak-anak ketika Hari Bapa.  

“Anak-anaknya juga sedia maklum tentang perpisahan kami, dan hubungan bersama anak tiri tetap baik.” 

DATANG KE MAHKAMAH BERSAMA 

Jelas Nora, dia dan Nedim dalam keadaan baik, dan itu antara sebab mereka datang bersama, sudah redha dengan ketentuan yang ditetapkan Nya.  

“Kami memang baik, dan setiap manusia lalui ujian berbeza. Tetapi untuk capai tahap keredaan dan datang bersama ke mahkamah pada hari ini bukanlah mudah.” 

“Namun pengalaman kami sebelum ini telah mematangkan kami.” 

Dalam pada itu, Nedim yang dilihat bersama Nora, enggan memberi sebarang komen lanjut tentang perpisahan mereka berdua. 

Imbas kembali, Nora dan Nedim disatukan sebagai pasangan suami isteri pada tahun 2017 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan bernama Neqayl yang dah pun masuk usia 6 tahun.