Polis sahkan, phone Zalina Azman kali terakhir aktif pada 20 November

1,377 views

Pihak polis memberi perkembangan terkini tentang siasatan terhadap kes kehilangan bekas personality TV3 iaitu Zalina Azman. Kali ini ianya tentang telefon bimbit bekas pembaca berita berkenaan.

Kata pihak polis, kali terakhir telefon bimbit Zalina Azman dikesan aktif adalah pada tarikh 20 November tahun 2021.

Hari itu merupakan empat hari sebelum anak lelakinya cuba hubungi ibunya itu.

Pada tarikh 24 November, anak lelakinya, Mikhael Norman, membuat panggilan telefon kepada Zalina Azman untuk memberitahu tentang khabar berita datuknya yang masuk ke hospital. Namun panggilan berkenaan tidak berjaya.

Mikhael dan pakciknya kemudian datang ke rumah Zalina Azman dan mendapati tiada orang tetapi ada kereta serta barang penting seperti beg duit, kad pengenalan, lesen memandu dan juga wang tunai.

Kemudian Mikhael Norman terus saja pergi membuat satu report polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, memberitahu, hasil semakan, pihak polis merasakan ada kemungkinan Zalina Azman sebenarnya telah hilang lebih awal dari tarikh yang dilaporkan.

“Jika anaknya tak cuba telefon Zalina, kita pun memang tak tahu dia dah hilang. Oleh itu ada kemungkinan juga Zalina telah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat.”

“Ini kerana kita dah semak pada tarikh 20 November, telah didapati telefonnya baru dimatikan, dah tiada rekod panggilan keluar dan masuk.”

“Sama ada ianya dah habis bateri atau pun sebaliknya, itu kita tidak dapat pastikan.”

Polis juga berpendapat, rumah Zalina Azman tak tersusun adalah kerana adanya kerja ubah suai yang sedang berjalan. Oleh itu pihak polis sedang mencari para pekerja dan juga pihak yang membuat renovation berkenaan.

“Kita sedang siasat, dan sedang mengesan para pekerja yang terlibat dalam ubah suai ruamh Zalina itu.”

Itulah perkembangan terkini tentang kes Zalina Azman.