“Sabit terbang ke muka” Ellie Suriati minta maaf

33,632 views

Seorang pelakon baru alami luka di dahi setelah terkena sabit ketika jalani satu babak penggambaran untuk filem Telaga Suriram.

Ellie Suriaty, 52 tahun, akui dirinya bersalah di atas kejadian yang menimpa pelakon baru bernama Shahidan Izwan itu.

Jelas Ellie, dia telah pun meminta maaf kepada Shahidan, kerana tak sengaja menyebabkan kecederaan berkenaan.

“Saya menjadi punca dan menyebabkan satu kemalangan di lokasi penggambaran semalam untuk filem Telaga Suriram. Semasa berlakon, sabit di tangan Mak Tijah, watak lakonan Ellie, telah terbang dan terpelanting semasa bergelut dengan Jabet, watak yang dilakonkan oleh Shahidan.”

“Sabit itu terkena di bahagian dahi dan hidungnya. Saya mohon maaf dan rasa amat bersalah kepada Shahidan Izwan.”

Kata Ellie lagi, Shahida telah pun memaafkan dirinya dan tidak alami kecederaan yang teruk.

“Syukur Alhamdulillah, Allah dah lembutkan hati Shahidan. Saya mohon maaf sekali lagi.”

Dalam pada itu, Shahidan juga ada muatnaik gambar dirinya yang tercedera terkena sabit itu. Memang jelas kelihatan sedikit luka di bahagian atas hidung dan dahi.

Akan tetapi, Shahidan yang mesra disapa Iwang Ali berkata, ianya satu pengalaman yang akan dikenang dan tiada siapa yang bersalah.

“Satu insiden di set penggambaran filem Telaga Suriram. Sememangnya satu kenangan yang tak boleh saya lupakan. Sabit rumput terbang ke muka.”

 “Tak ada siapa pun yang salah. Ini adalah adat ketika berlakon. Pasti ada perkara yang tak diingini terjadi. Doakan saya cepat sembuh. Saya tak sabar nak kembali ke set penggambaran semula.”

Filem Telaga Suriram menampilkan ramai bintang seperti Farid Kamil, Nabila Huda, Maya Karin, Scha Alyahya sebagai teraju utama. Ellie Suriaty dan Shahidan juga antara pelakon yang membintangi filem arahan dari Osman Ali itu.