Setelah doktor tak tahu punca penyakit, Amyra Rosli jumpa ustaz, ini penjelasan ustaz

13,496 views

Pelakon Amyra Rosli kini sedang menderita penyakit yang tidak diketahui puncanya. Isteri kepada Amar Baharin ini alami sakit sendi pada seluruh badan, kakinya bengkak dan mempunyai kesan lebam-lebam. Hal ini sudah berlarutan lebih seminggu lalu.

Amyra akui dirinya nampak macam sihat saja, tetapi ramai tak tahu dia menderita, malah sampai sukar untuk berjalan. Ini komennya kepada portal Kosmo.

“Sukar untuk saya ceritakan. Saya gelak ketawa dan masih kerja berlakon macam biasa.Tetapi hakikatnya saya sedang sakit sendi satu badan dan lebam kaki sampai tak boleh nak bergerak.”

“Yang terteruk, sakit ini kena pada bahagian anggota badan yang saya gunakan untuk bekerja iaitu di kawasan pergelangan tangan dan juga kaki.”

“Kadangkala melarat sampai saya tak boleh nak buat kerja. Jika tidur malam, nak angkat selimut pun saya tak larat. Angkat telefon rasa berat macam angkat batu.”

Kata pelakon berumur 30 tahun ini, pihak doktor pun tak tahu apa puncanya.

“Saya dah buat ujian makmal dua kali kat hospital, dan doktor sendiri pun tak tahu punca atau penyakit apa yang saya kena sekarang ni.”

“Pemeriksaan jantung, paru-paru dan darah saya semuanya baik tak ada isu. Bacaan sangat bagus, oleh itu saya pun jadi tertanya-tanya.”

Kini Amyra dan Amar Baharin mengusahakan rawatan lain termasuk homeopati dan juga rawatan perubatan Islam. Amyra membuat satu rawatan dengan seorang ustaz. Ini ceritanya.

“Semalam buat video call dengan seorang ustaz ni, dan dia boleh datang rumah untuk berubat.”

“Ustaz nasihatkan saya jangan ada fikir bukan-bukan atau tuju kepada sesiapa perihal sakit ini. Katanya lagi, mungkin disebabkan saya jalani penggambaran pelbagai tempat termasuk kawasan hutan, kawasan perkampungan dan hospital.”

“Saya positif saja, mungkin saya ada terlanggar apa-apa sesuatu sebab masa awal sakit tu, saya sedang datang bulan.”

Kerana isu kesihatan yang sedang dialami, Amyra Rosli terpaksa berehat buat seketika dari menjalani penggambaran.