“Shebby nampak pucat, penat” – Aidil Zafuan terserempak Shebby ketika berbasikal

5,468 views

Bekas pemain bola sepak tanah air yang juga pernah menjadi hos beberapa rancangan suka iaitu Shebby Singh disahkan pergi buat selamanya semalam petang.

Mendiang Shebby atau nama sebenarnya Serbegeth Singh dikatakan sedang berbasikal dan sesak nafas sebelum terjatuh. Ketika itu mendiang dikatakan terkena serangan jantung.

Kapten bola sepak Malaysia, Aidil Zafuan merupakan antara individu yang ternampak Shebby berbasikal pada petang itu di sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru.

“Saya ada nampak dia pada petang tadi sekitar jam 5 suku hingga 6 setengah, di kawasan rumah kami selepas saya ambil anak dari latihan bola. Rumah saya dengan dia memang tidak jauh.”

“Dari jauh saya nampak siapa sedang berbasikal putih dan memakai baju putih ketika panas macam ini, bila dah dekat rupanya saya nampak dia, Shebby Singh. Saya pun angkat tangan pada dia dan dia pun membalas, angkat tangan juga.”

Aidil, memang terkejut dan tak sangkalah lambaian berkenaan merupakan teguran terakhirnya kepada mendiang Shebby.

Ceritanya lagi, semasa Shebby mengangkat tangan, dia memang nampak Shebby nampak pucat dan sedikit penat.

“Ketika saya angkat tangan dan dia terus balas semula, tapi saya nampak macam dia memang kelihatan sedang penat mungkin kerana bahang cuaca. Saya rasa dia baru saja mula kayuh basikal kerana rumah dia tak sampai satu kilo meter dari tempat saya terserempak itu.”

“Sungguhpun saya tak pernah bermain di bawah kendaliannya, namun begitu kami berdua memang saling mengenali sebab selalu berbual dan bersembang. Secara peribadi, negara kehilangan seorang pengulas yang amat telus dan jujur dalam penyampaiannya, apa yang dia cakap memang masuk akal.”

“Memang susah nak jumpa orang sepertinya. Apa yang dia ulas dan komen itu selalunya untuk kepentingan bola sepak agar lebih maju lagi.”

Bagi keluarga Shebby Singh, pemergian mendiang memang agak mengejutkan kerana dia seorang yang aktif dan sihat. Ini komen wakil keluarganya.

“Shebby selalu sihat saja sebelum ini. Ketiadaan mendiang memang kehilangan besar untuk kami sekeluarga.”

“Mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Center di Skudai pada petang ini dan akan dibawa ke Pusat Pembakaran Mayat di Kuala Lumpur esok pagi.”

Anak Shebby iaitu Sonuljit Singh, berkata, family buat keputusan membawa mendiang ke Kuala Lumpur esok untuk urusan terakhir.

Shebby Singh sudah lebih 40 tahun duduk di Kuala Lumpur, membina kerjaya di sana malah bermain bola sepak juag di Kuala Lumpur.

“Dah lama bapa tinggal di situ, oleh itu kami sekeluarga bicang dan ambil keputusan untuk bawanya ke Kuala Lumpur bagi urusan terakhirnya.”

“Kami harap semua dapat beri kami sedikit ruang untuk harungi semua ini. Kami sekeluarga amat terharu dengan semua penghormatan, kasih sayang ditunjukkan orang ramai terutama di laman media sosial.”

Mendiang Shebby Singh berumur 61 tahun disahkan pergi buat selamanya sekitar jam 7 petang semalam ketika berbasikal.

Shebby bermain untuk pasukan Johor sebelum berpindah ke pasukan Kuala Lumpur pada tahun 1983. Shebby ada bermain untuk beberapa pasukan lain, termasuk bermain untuk pasukan kebangsaan dan akhirnya menggantung boot pada tahun 1996.

Selepas bersara, Shebby pernah menjadi coach dan juga menjadi hos dan tetamu jemputan untuk beberapa rancangan sukan. Shebby sering memberi komen serta mengulas tentang isu bola sepak tanah air.