Ketika ini nama Iman Troye sedang mencanak naik, banyak lagu-lagunya telah menjadi hits dan menjadi siulan ramai.
Baru berumur 19 tahun, Iman Troye kini semakin mengukuhkan namanya di industry seni tanah air.
Di usia yang muda ini, ramai bertanya tentang kisah Iman semasa di alam persekolahan. Rupanya ianya tidaklah semanis yang disangka-sangka.
Iman Troye akui dia antara yang tidak mempunyai ramai kawan di sekolah.
Namun Iman berkata, dia bangkit dan mencari suasana baik untuk meraih kejayaan dalam peperiksaan.
Walaupun menempa kejayaan dalam SPM 2019, sebenarnya ketika itu dia sedang bergelut dengan banyak isu termasuk emosi.
“Semasa saya sekolah dulu tak lah seindah mana sebenarnya. Saya pernah kena juga dibuli di sekolah. Dan saya pun tak ada kawan sangat. Namun saya tidak menjadikan hal berkenaan sebagai satu perkara yang dapat lemahkan semangat saya untuk terus belajar.”
“Apabila jumpa kawan di sekolah baru, saya terus wujudkan suasana positif agar dapat belajar. Saya dah tekad nak berjaya. Namun semuanya berbalik semula kepada soal rezeki dan juga restu ibu bapa.”
“Setiap hal yang kita buat, sudah tentu ada pergelutan. Sekarang ni saya pun kena bahagikan masa antara bekerja iaitu menyanyi dan juga belajar. Saya tengah ambil diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara Shah Alam.”
Jelas Iman Troye, dia akan cuba kuatkan diri dengan mencari kawan yang sama minat dengannya.
“Saya kini berjumpa kawan yang ada minat yang sama dengan saya. Kegembiraan itu pilihan, jadi kenalah buat benda yang kita sukai dan minat.”
“Jangan bagi pendapat kalau tak diminta. Dan jadilah seorang pendengar yang baik untuk kawan. Kalau diri pula tertekan, carilah kawan untuk luahkan. Saya memang pentingkan kawan.”
Itulah antara cerita dari Iman Troye, semoga Iman akan terus sukses dalam pelajaran dan juga bidang seni.