Kalau ini berlaku, Bandi Amuk akan tanggal topeng di pentas Gegar Vaganza

3,221 views

Salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kelapan iaitu Bandi Amuk berjaya memikat hati juri apabila menduduki tempat ketiga di minggu pertama.

Semua pun kenal dengan Bandi, yang mana dia terkenal dengan gayanya mengenakan topeng muka.

Namun menerusi satu laporan Utusan, Bandi kini mengambil pendekatan yang lebih terbuka apabila berkata dia mungkin akan menanggalkan topengnya itu di pentas Gegar Vaganza.

Walau sudah 23 tahun pakai topeng ketika buat persembahan di atas pentas, Bandi akui mungkin akan tanggalkan topengnya jika masuk ke peringkat akhir Gegar Vaganza.

“Bukan berjanji, tetapi jika diizikan, kalau saya berjaya masuk ke final atau dapat nombor satu di Gegar Vaganza musim ini, kemungkinan saya akan buka topeng.”

“Sebenarnya, ada yang pernah tahu siapa saya. Sebelum ini pun saya pernah buka topeng, cuma tak pernah lagi untuk program siaran langsung di kaca TV. Kalau ada rezeki Allah beri, dapat mara ke peringkat akhir GV8, InsyaAllah saya akan buka.”

“Tapi tak ada terlalu berharap untuk jadi juara. Kalau ada, ianya satu bonus. Umur saya begini, diakui pelbagai hal yang sekat diri dan karier untuk berkembang.”

Bandi memang sayangkan karakter bertopeng dengan suara yang rock sebati dengan dirinya, tetapi dia juga kena realistic untuk terus maju dalam industry ini.

“Disebabkan pakai topeng, banyak benda yang saya kena tolak. Contohnya ada orang offer berlakon buat drama, dan juga teater sebelum ini.”

“Rasa dengan usia sekarang, dah sampai masa untuk saya buka topeng. Bukan sebab penat, tapi untuk buka lebih banyak peluang dalam bidang seni.”

Bandi akui dia masuk Gegar Vaganza untuk menimba pengalaman seperti rakannya iaiatu Mus May.

“Masuk Gegar Vaganza kerana mahu pengalaman itu. Seperti sahabat saya, Mus May ada cakap, kalau nak pengalaman, ini memang tempatnya.”

“Memang pengalaman ini tak semua orang boleh dapat. Dulu pun saya pernah masuk pertandingan, saya rasa cukuplah. Ini pentas terakhir saya untuk bertanding.”