“Apa yang saya belajar, sumpah makin sayang isteri pertama” Abang Tesla

16,184 views

Kisah Abang Tesla berkahwin satu lagi mendapat perhatian ramai. Niatnya menunjukkan cara berkahwin dua dengan mendapat keizinan isteri pertama masih lagi tidak diterima orang ramai. 

Apatah lagi influencer ini merakam detik memujuk isteri pertamanya sebelum bernikah dengan isteri kedua. 

Rata-rata warga maya memberi komen dengan lebih memberi simpati kepada isterinya itu yang bernama Nurmajdina Jamari, atau Kak Maj. 

Ramai yang turut berkata sepatutnya akan lebih damai jika hal peribadi seperti itu disimpan untuk diri saja tanpa tatapan umum. 

Di ruangan komen, pelbagai kata yang kurang baik dilemparkan kepada Abang Tesla. 

Sedar dengan komen kurang baik itu, Abang Tesla dilihat menjelaskan hal yang berlaku. 

Dari laporan Oh Bulan, menerusi satu video terbaru, Abang Tesla berbual dengan isteri pertamanya tentang hal ini.  

Ini perbualan Abang Tesla dengan isteri pertamanya. 

“Satu negara kini sedang mengecam saya, awak taukan pasal itu. Saya nak salahkan mereka pun tak boleh juga.” 

“Ramai yang berpoligami namun lalui jalan yang salah, tak lakukan dengan betul. Kalau nak ikutkan komen yang tak baik ni berbanding dengan sakit hati awak, lagi sakit hati awak.” 

TAK SAYANG BINI PERTAMA KE?  

Persoalan yang banyak bermain ialah tentang sayang terhadap isteri pertamanya, yang dari dulu setia di sini. 

“Ramai yang bertanya, saya ni tak sayang bini saya ke? Bukannya tak sayang, tetapi apa yang saya belajar sepanjang proses nak poligami ini, perbetulkan apa yang silap. Ternyata orang ramai yang tak faham ayat tentang perbetulkan apa yang silap.” 

“Apa yang saya nampak di sini ialah saya lebih menghargai. Kalau dulu saya tak menghargai.” 

KALAU SAYANG KENAPA KAHWIN DUA 

“Ada juga yang tanya, kalau betul sayang kenapa kahwin dua. Saya rasa apa yang ustaz cakap itu sama, isteri pertama tu adalah untuk dihargai, dan isteri kedua untuk dicintai. Itu yang saya dapat, bila saya jauh, saya rasa benda itu.” 

ISTERI MUDAH MASUK SYURGA, TAAT PADA SUAMI 

Selain itu, Abang Tesla juga mengatakan bahawa seorang isteri mudah untuk masuk ke dalam syurga sekiranya taat pada Allah dan juga suami. 

“Mungkin ramai di luar sana yang silap dalam tafsir soal poligami, ramai perempuan di luar sana kata tak adil. Allah itu Maha Adil, perempuan senang masuk syurga, dan juga mudah masuk neraka.” 

“Mengapa senang masuk syurga? Perempuan nak masuk syurga hanya taat pada Allah dan suami. Mengapa pula mudah masuk neraka? Ini kerana perempuan tak taat pada Allah dan suami.” 

POLIGAMI BUAT DIRINYA BERTAMBAH SAYANG ISTERI PERTAMA 

Abang Tesla turut berkata, poligami ini banyak positifnya. 

Antaranya, kerana poligami ini, dia bertambah sayang pada isteri pertama.  

“Perkara ni orang lain tak faham, mereka hanya kaitkan tentang nafsu semata-mata. Kalau memandang poligami indah, maka kita akan nampak yang indah. Jika pandang dengan sudut tak baik, begitulah yang terjadi di negara kita ni, nak cakap pun susah.” 

“Kita ni mana boleh nak menutup mulut orang, tak boleh nak cakap apa-apa. Awak sahaja yang tahu saya macam mana.” 

“Apa yang saya belajar ialah erti menghargai. Dulu kita berdua pernah rasa berjauhan, daripada situ dah mula belajar. Kalau nak cakap tak sayang itu, sumpah kini rasa semakin sayang.” 

PESANAN ABANG TESLA, JAGA PERCAKAPAN  

“Saya mahu memberi pesanan kepada orang ramai, jagalah percakapan kita. Sebab kita tidak tahu perkara macam ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Hormatilah dan hargailah isteri, takutlah pada Allah.” 

Itulah sedikit sebanyak kenyataan terbaru dari Abang Tesla menerusi satu videonya.