Kisah pengacara Gegar Vaganza Nabil Ahmad yang dilabel berlebihan membahan juri jemputan iaitu Raisa menjadi bualan ramai.
Ada penonton mengatakan mereka kurang senang melihat Nabil bergurau seperti itu terutama semasa mengajuk Raisa yang berbicara dalam English semasa memberikan komen kepada peserta Hairul Nizam.
Akhirnya pihak media melalui portal Kosmo telah mendapatkan penjelasan Nabil Ahmad tentang isu ini.
Nabil tahu tentang hal ini dan menyatakan bahawa orang ramai yang menulis komen tak elok tentang jenakanya itu tak faham tentang konsep dan tak tahu apa yang berlaku di belakang pentas.
Jelas Nabil, 39 tahun, dia tak mahu melayan hal ini kerana pihak Raisa dan management pun okey saja dengannya.
“Jikalaulah saya dapat rasa bahawa perbuatan itu menjatuhkan atau pun memalukan kepada tetamu jemputan, saya sendiri akan terus memohon kemaafan.”
“Mereka ni yang pandai cakap ini tahu ke proses sebelum sesebuah rancangan televisyen itu dijalankan atau dirakamkan, apatah lagi siaran langsung seperti Gegar Vaganza ini.”
“Sebenarnya kesemua para peserta, pengara, pihak juri, crew termasuklah para tetamu undangan akan diberikan penerangan terlebih dulu, bagaimana program ini dijalankan.”
“Namun jika masih ada lagi yang mahu mengata kat saya tu terpulanglah. Mungkin mereka ni maksum sampai membodoh-bodohkan orang lain.”
“Itu bukanlah caranya nak menegur, tetapi bagi saya tak jadi kudis pun sebab mereka tak tahu perihal yang terjadi kat belakang tabir.”
Tentang Raisa, Nabil berkata penyanyi berkenaan dah pun dimaklumkan akan ada lawak jenaka yang akan disampaikan untuk membuatkan suasana jadi hidup.
Malah, Raisa pun tiada masalah dan dah pun bertemu selepas Gegar Vaganza habis dengan Nabil.
Nabil juga bertemu dengan Raisa di konti radio Era FM menjadi tetamunya di segmen pagi Era.
Jika dilihat di IG story, Raisa pun ada muatnaik gambar bersama Nabil Ahmad.
“Pagi tadi pun Raisa ada datang ke konti Era FM. Kami sempat bersembang sebelum dia dan pihak pengurusannya balik. Raisa sendiri ada cakap terima kasih, begitu juga pihak pengurus sebab mereka gembira telah diundang ke rancangan TV dan juga radio.”
Nabil juga ada menambah dia memang akan mohon maaf kepada semua pihak yang bekerja dengannya termasuklah dengan Raisa juga, dan baginya hal dengan Raisa dah pun selesai, tiada apa pun.