Balu arwah Abam, Hidayah menang kes saman ke atas Ali Puteh

8,688 views

Sudah dua tahun pergi balik ke mahkamah, akhirnya kes melibatkan balu kepada arwah Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali dan adik iparnya Ali Puteh telah diketahui keputusannya.

Mahkamah memutuskan bahawa Nor Hidayah telah menang dalam kes saman yang difailkan terhadap adik iparnya, Ali Puteh.

Keputusan berkenaan diumumkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan pada pagi Jumaat.

Kerana keputusan berkenaan, Ali Puteh diperintahkan untuk membayar ganti rugi kepada Nor Hidayah dengan jumlah saman RM60 ribu.

Hal ini disahkan oleh peguam yang mewakli Hidayah iaitu Mohamed Ibrahim. Ketika membuat sidang media selepas tamat prosiding, peguam mengatakan hakim menolak tuntutan dari family arwah Abam.

“Tuntutan Nor Hidayah terhadap Ali Puteh telah dibenarkan dengan kos. Dengan keputusan ini, ianya dapat membersihkan komen-komen yang dilemparkan kepada Nor Hidayah.”

“Mahkamah dengan jelas menyatakan tiada penganiayaan oleh anak guam tetapi anak guam kami yang kena dianiaya.”

Nor Hidayah juga meluahkan rasa lega semuanya dah berakhir.

“Syukur alhamdulillah saya dan anak semakin baik. Minta doa yang terbaik buat saya dan juga anak. Saya rasa lega sangat dah.”

Dalam pada itu, Ali Puteh turut dikerumuni pihak media setelah prosiding berakhir. Kata Ali, dia menerima segala keputusan dari mahkamah.

“Saya dah akur dengan keputusan pihak mahkamah hari ini, saya tak ada pun rasa tidak berpuas hati. Saya hormati semua keputusan mahkamah.”

Untuk info, Nor Hidayah sebelum ini telah memfailkan saman terhadap adik iparnya, Ali Puteh kerana komennya yang menggambarkan dia sebagai seorang yang tak bertanggungjawab. Ianya dibuat setelah lebih kurang 15 hari pemergian arwah Abam. Kemudian Ali Puteh pula menyaman Nor Hidayah kembali, bersama-sama ahli perniagaan Aliff Syukri.