“Belum terima hakikat umur dah 40 tahun” Dayang Nurfaizah

10,664 views

Penyanyi Dayang Nurfaizah baru saja menyambut hari kelahiran yang ke 40 pada tarikh 20 Julai 2021. Namun penyanyi bersuara lunak ini akui masih tak percaya dirinya sudah mencecah usia ke fasa 40an.

“Sungguhpun ada orang cakap usia ni bukanlah ukuran, bagi saya pula sebaliknya. Saya sebenarnya belum terima hakikat bahawa umur dah masuk 40 tahun.”

“Tak boleh terima kerana sukar nak percaya. Saya rasa macam masa ni amat pantas. Semasa nak isi borang mahu ambil suntikan vaksin, saya rasa pelik sebab kena letak nombor empat pada ruangan umur.”

“Ketika ambil vaksin dos yang pertama, umur saya masih lagi di nombor tiga kat depan. Rasa macam nak kosongkan saja ruang umur. Bila cakap perasaan saya pada manager, katanya itu normal.”

“Saya ni bukannya takut tua kerana perubahan fizikal ataupun jumlah tenaga akan berubah. Semua ini adalah lumrah. Malah tenaga dan fizikal ketika remaja dan sekarang pun dah banyak bezanya.”

“Maksud saya ialah pertambahan umur ni menyentak diri saya. Terasa kelajuan masa berlalu amat pantas sampai saya tak sedar usia dah meningkat, sedangkan banyak perkara yang saya nak capai dalam hidup ni.”

Bila umur dah naik ni, antara yang sering di tanya ialah tentang soal jodoh, memandangkan Dayang Nurafizah masih belum berkahwin. Bagi Dayang, dia meletakkan soal jodoh itu di tangan yang Maha Esa.

“Family saya pun dah malas nak tanya tentang jodoh. Saya hanya fikir tentang jodoh bila ada orang yang tanya. Selalunya, hidup saya ni adalah untuk diri sendiri saja.”

“Umur bertambah bukan alasan untuk bebankan diri dengan fikiran tentang soal jodoh. Saya percaya, kata-kata yang baik merupakan satu doa. Jadi, saya hanya berserah hal ini kepada Illahi.”

Dayang Nurfaizah juga berkata dia sememangnya seorang yang amat berhati-hati dalam kariernya dan tak mahu terjebak dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan reputasinya.

Berkenaan soal kerjaya, Dayang Nurfaizah akan tampil dengan lagu baru bersama penyanyi Zynnakal tak lama lagi.