Dato Aishah, juara Gegar Vaganza musim ke 2, telah menjadi peserta keempat yang tersingkir di pentas Gegar Vaganza All Stars.
Pada minggu ke empat, Aishah mendapat markah terendah, setelah nyanyiannya bersama artis duet iaitu Vince gagal memikat para juri.
Dengan markah yang amat rendah iaitu 43 peratus, Dato Aishah akhirnya diumumkan tersingkir.
Sebaik diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, Aishah yang kelihatan sugul hanya melambai kepada para peminatnya.
Apabila diberi peluang membuat ucapan, penyanyi berumur 58 tahun berkata, doa orang di luar sana yang mahu melihatnya terkeluar telah makbul.
“Saya rasa ramai juga doa orang kat luar sana yang dah pun makbul untuk saya terkeluar.”
“Apapun saya agak gembira jugalah sebab esok saya dapatlah sambung tidur.”
Itulah ucapan ringkas dari Dato Aishah semasa segmen Ada Lagu Ada Lagi.
Dalam pada itu, di segmen Vas Vaganza bersama Ifa Raziah, Dato Aishah akur bahawa mungkin ketika ini suaranya lebih sesuai dengan zaman lalu.
“Mungkin suara saya, sesuai dengan masa dulu.”
“Saya pun tak tahu apa yang juri mahu sebenarnya.”
“Tapi itu pun bukanlah alasannya.”
“Saya akan teruskan perjuangan untuk para peminat saya yang masih ada. Kita akan teruskan di platform lain pula.”
Di segmen terakhir, Dato Aishah dan juga Siti Nordiana berpegangan tangan menunggu lagu terakhir untuk diumumkan.
Akhirnya Siti Nordiana yang mendapat lagu untuk minggu depan.
Aishah membawa lagu Terlanjur Cinta bersama pemenang Akademi Fantasia musim pertama iaitu Vince.
Juri Hetty Koes Endang yang memberi komen berkata suara Aishah bagus namun meminta lebih banyak berlatih. Bonda Hetty juga sempat memberi ajar dengan meminta Dato Aishah menyanyi lebih santai dan jelas ianya terus menampilkan vokal yang lebih menyerlah.