Ina Naim tenang, sampaikan pesanan terakhir arwah Suhaimi Saad

81,134 views

Suhaimi Saad telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir di usia 43 tahun semalam di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, ketika menjalani rawatan di unit rawatan rapi setelah ditidurkan. 

Bekas anggota kumpulan Inteam ini mengalami komplikasi akibat dari jangkitan paru-paru atau dalam bahasa medical, pneumonia. 

Penyanyi ini meninggalkan seorang isteri iaitu Ina Naim dan juga empat orang anak.

Bercerita tentang detik terakhir Suhaimi Saad, kata Ina Naim, suaminya itu pergi dalam keadaan yang amat senang dan semuanya telah dipermudahkan. 

Semasa berada di hospital, wanita berumur 39 tahun ini dilihat amat tenang, cekal dan meredhai pemergian suaminya itu.

Ina Naim juga dilihat sempat menenangkan salah seorang anak lelaki semasa menunggu di hospital.

Melalui satu temubual dengan portal Kosmo, Ina bercerita sedikit tentang arwah suaminya.  

“Bermula pada bulan Ogos lepas, masa tu dia dah mula batuk teruk, dalam bulan Oktober dia mula alami cirit-birit sampaikan dia menyusut sebanyak 20 kilo.” 

“Arwah masuk ke hospital selama enam hari, kemudian dia ditidurkan. Sebenarnya ini juga permintaan arwah sendiri sebagai jalan terakhirnya, dia memang dah beri izin.” 

“Perjalanan akhir arwah amat mudah dan tenang, di sisi dia ada saya dan semua anak-anaknya.” 

Ina Naim tenangkan anaknya semasa berada di unit forensic

Dalam pada itu, Ina Naim berkata, semasa hidup, Suhaimi Saad pernah berkata, dia hanya mahu usia hidupnya hanya 43 tahun saja.  

“Semasa arwah masih hidup, dia pernah cakap memang nak umurnya hanya sampai 43 tahun saja. Tarikh lahir dia ialah 12 Oktober, dan masa tu memang dia sedang sakit.” 

Ditanya tentang pesanan terakhir arwah Suhaimi Saad, ini komen dari Ina. 

“Memang dia minta maaf dari semua orang. Kalau tengok kat laman media dia pun, memang dia mohon kemaafan.”  

“Oleh itu, saya juga mahu memohon maaf jika suami saya ada tersilap kata mahupun menyinggung perasaan mana-mana pihak. Atau juga jika ada termakan, terminum atau terambil apa-apan, saya memohon maaf bagi pihak dia.” 

Selain itu, arwah Suhaimi juga syukur kerana sempat mencurahkan ilmu kepada anak-anak terutamanya ilmu agama. 

“Tanggungjawab dan juga tugasnya sebagai seorang ketua keluarga dah pun selesai terutama dalam memperkenalkan agama kepada anak-anaknya. Quran dan hadis kena pegang kuat-kuat.” 

“Apabila kami bersembang termasuk anak-anak, arwah berpesan kepada anak-anak, abang kena jaga ibu ayah, dan juga ibu kena jaga anak-anak.” 

“Itu merupakan di antara pesanan semasa dia dah jatuh sakit. Kami juga telah pun saling bermaaf maafan, dan minta halakan semuanya.”  

Ina Naim berkata dia akan menghabiskan tempoh iddah di rumah ibu bapanya di Felcra Sungai Ara dan kemudian barulah merancang perjalanan keluarganya, tetapi baginya dia percaya Allah akan memudahkan urusannya sekeluarga. 

Suhaimi Saad dan Ina Naim disatukan sebagai pasangan suami isteri pada tahun 2007 dan mempunyai empat orang anak iaitu yang sulung, Ehmad Hadie Elfardie 15 tahun, yang kedua Sallman Elkhoyri 13 tahun, anak ketiga Phyrosh Elfadwah 11 tahun dan paling bongsu Nur Layla Elghufrony yang berumur 9 tahun. 

Jenazah Suhaimi Saad dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI, kemudian dibawa pulang ke rumah family Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi dan dijangka akan dikebumikan sekitar jam 9 atau 10 pagi hari Khamis.