Ini komen Datuk Rosyam Nor tentang isu Syamsul Yusof dan Aaron Aziz

8,002 views

Datuk Rosyam Nor, 56 tahun, merupakan antara pelakon yang akan membintangai filem terbaru arahan pengarah terkenal Syamsul Yusof berjudul The Original Gangster. 

Filem ini sepatutnya dibintangi oleh pelakon hebat Datuk Aaron Aziz, 47 tahun, namun namanya telah dikatakan disingkirkan. 

Ini sekaligus menimbulkan sedikit konflik antara Syamsul Yusof dan juga Aaron Aziz. 

Ketika pihak media bertanya kepada Rosyam Nor, soalan tentang apa yang berlaku antara Syamsul Yusof dan juga Aaron Aziz, ini jawapan dari pelakon senior ini. 

“Semasa saya sedang bekerja, saya tak ambil tahu hal-hal melibatkan orang lain. Sampai saja di set penggambaran, saya akan berlakon. Oleh itu, apa yang terjadi atau ada dengar-dengar tentang hal yang lain, saya memang tak peduli.” 

“Sesiapa saja yang ada di set penggambaran itulah pasangan yang saya berlakon bersama. Saya tak mahu campur adukkan antara kerja saya dengan isu dari pihak produksi.” 

“Konflik yang terjadi ini merupakan satu masalah dari pihak produksi, bukan masalah saya. Sebagai pelakon, saya telah dibayar maka saya datang ke lokasi untuk berlakon saja.”  

“Selebihnya, memang saya tak mahu masuk campur. Saya tak mahu keruhkan lagi keadaan. Itu saja saya nak cakap.” 

Pihak media kemudian bertanya sama ada pertelingkahan antara Syamsul Yusof dan Aaron Aziz ada mengganggu proses penggambaran yang sedang berlangsung. Ini jawapan Rosyam Nor. 

“Tak mengganggu. Mengapa perlu sampai terganggu pula? Di dalam hidup ini, bukan semua yang kita mahu tu akan boleh kita dapat.” 

“Ada perkara yang kita dah rancang tetapi akhirnya tidak sempurna. Jikalau tak sempurna, kita hanya memohon pada Allah dan habiskan saja kerja kita.” 

“Saya bagi contoh, jika bercinta, tak semestinya berakhir dengan perkahwinan. Jikalau berkahwin pula, tak semestinya kekal.” 

Itulah jawapan dari Datuk Rosyam Nor tentang isu yang melanda dua selebriti Syamsul Yusof sebagai pengarah dan juga Datuk Aaron Aziz sebagai pelakon.