“Saya habiskan wang untuk saman tu, dah boleh beli rumah” ~Shila Amzah buka cerita

11,176 views

Mengimbau kenangan lalu, penyanyi Shila Amzah pernah menghantar saman kepada beberapa pihak media dan wartawan pada tahun 2015.

Bercerita tentang hal itu, Shila Amzah akui kalau diberi peluang kedua, dia tak mahu melakukan hal berkenaan.

Jelas pemenang Juara Lagu ini, dia merasakan apa yang dilakukan itu satu pembaziran semata-mata, bazir dari segi wang, tenaga dan juga masa.

Semua yang berlaku itu patut boleh diselesaikan di luar mahkamah.

Ketika itu, Shila Amzah berkata, hidupnya masih muda, baru 20an dan kedua ibu bapa yang menentukan hala tuju hidupnya.

“Saya hanya dapat kebebasan untuk buat apa saya mahu ketika tiga tahun kebelakangan ini saja. Hal yang terjadi sebelum ini, boleh kata, bukan sepenuhnya keputusan saya.”

“Namun saya tidaklah mahu menidakka apa yang ibu bapa saya lakukan, mereka membesarkan saya dan mahu lindungi diri saya. Saya pun masa tu agak tertekan, saya dan ibu bapa memang saling memerlukan.”

“Tetapi, jika lah saya boleh undur masa, sata tak akan habiskan duit serta masa saya ni untuk lakukan itu (saman). Jika dikira, duit yang saya habiskan tu, sebenarnya dah boleh beli rumah, dan ianya hanya untuk turun naik mahkamah.”

“Masa tu apabila nak pergi mahkamah, memang rasa berat kaki. Kalau saya ada kebebasan masa itu, saya akan selesaikan hal berkenaan.”

“Ketika itu, pihak wartawan dan media tak ada nombor saya, mereka tak dapat hubungi saya, tapi jika ada ruang sudah tentu saya jawab.”

“Memang keputusan yang dibuat itu bukannya keputusan saya. Saya telah dikawal rapi. Masa muda memanglah beremosi. Masa tu saya tak boleh keluar, tak boleh nak kawan dengan siapa yang saya mahu.”

Shila Amzah kemudian memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak media dan wartawan yang terlibat dengan kes berkenaan.

“Sesiapa yang terguris hati, saya minta maaf. Ketika itu pandangan saya tentang hidup ini memang berbeza, harapnya hal ini tak berpanjangan lagi.”

“Ianya satu titik hitam dalam hidup saya ni, saya harap dapatlah berbaik semula. Jika tak mahu berkawan pun, harap dapatlah memaafkan saya.”

Shila Amzah akui dirinya mungkin dah menyinggung mana-mana pihak media dan menyesal dengan apa yang berlaku.

Pada tahun 2015, Shila Amzah telah menfailkan menyaman terhadap Kosmo berkenaan satu laporan satu event melibatkan penyanyi ini. Shila Amzah akhirnya kalah dan kena membayar kos sebanyak RM20ribu kepada portal berkenaan.