Mahkamah tolak permohonan rayuan Farid Kamil

21,205 views

Semalam, panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hanipah telah sebulat suara membuat keputusan untuk menolak permohonan pelakon dan pengarah Farid Kamil, selaku pemohon untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Ini sekaligus membuatkan Farid Kamil gagal mendapatkan kebenaran merayu terhadap sabitan dan hukuman denda RM5500, atas kesalahan menggunakan kekerasan serta mengeluarkan kata-kata tidak sopan kepada seorang anggota polis, dengan niat mahu halangnya untuk melakukan tugas, pada empat tahun lalu.

Sebelum ini sabitan dan hukuman telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada tarikh 23 Ogos 2021.

Pada tarikh 2 Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah menjatuhkan hukuman penjara selama 13 bulan ke atas Farid Kamil, atas kesalahan guna kekerasan terhadap anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di tarikh 11 Januari 2018.

Farid juga menerima hukuman empat bulan penjara disebabkan mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap anggota polis yang sama.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak, dan Farid Kamil perlu jalani hukuman penjara selama 13 bulan.

Namun begitu, Farid Kamil membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan ianya telah digantikan kepada denda RM5000, ditambah dengan denda RM500.

Farid Kamil telah membayar kompaun kepada semua pihak yang terlibat dalam kejadian itu termasuk kepada anggota polis tersebut.

Panel tiga hakim telah menolak permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman selepas mendapati pihak pendakwa raya tidak menyatakan alasan yang cukup untuk menyokong permohonannya. Tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Untuk info, Farid Kamil, 40 tahun, berkahwin dengan pelakon Diana Danielle, 30 tahun dan mereka berdua telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora.