Mamat Khalid pengsan di restoran, kemudian telah disahkan meninggal dunia

5,651 views

Satu berita baru saja diterima yang mana pengarah dan penerbit filem terkenal tanah air iaitu Mamat Khalid telah pun pergi buat selamanya sebentar tadi.

Mamat Khalid disahkan telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River, Perak.

Berita ini telah disampai dari satu laporan Utusan yang mana diberitahu oleh wakil dari Seniman iaitu Hafiz Nafiah, Setiausaha Agung Persatuan Seniman.

Jelas Hafiz, Allahyarham Mamat Khalid difahamkan pengsan di restoran miliknya, Sarang Art Hub dan kemudian telah dikejarkan ke hospital.

Namun di hospital, Mamat Khalid akhirnya disahkan oleh pihak doktor sudahpun meninggal dunia.

Ini komen dari Hafiz: “Allahyarham Mamat Khalid telah pengsan di Sarang Hub, kemudian dibawa terus ke hospital dan disahkan sudah pergi buat selamanya.

Dari laporan lain, dikatakan arwah Mamat Khalid pergi kerana masalah jantung yang dialaminya.

Dilihat di laman media sosial, ramai rakan artis telah mula muatnaik berita pemergian Mamat Khalid ini. Antaranya ialah Khir Rahman, Ali Puteh, Zul Ariffin, Bell Ngasri, Kak Ogy, Raja Azmi dan ramai lagi. Semuanya meluahkan rasa sayu dan juga telah mendoakan arwah.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, berumur 58 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya.

Arwah telah meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang cahaya mata.

Sebelum ini, Mamat Khalid pernah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke ICU selepas alami sesak nafas sekitar bulan Oktober tahun 2019.

Jika disebut nama Mamat Khalid, sudah tentu ramai akan ingat dengan naskah hebat seperti Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah dan juga filem Rock.

Watak yang diperkenalkan di dalam semua filemnya sememangnya unik dan sentiasa diingati ramai. Pemergian Mamat Khalid akan diingati ramai, sama-sama kita doakan agar arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman, amin.