“Mereka dah tiada di rumah itu” Shila Amzah

30,055 views

Kisah rumah bungalow milik Shila Amzah yang didiami oleh keluarganya menjadi bualan ramai ekoran beberapa episod berbalas kenyataan dari Shila, Syafiq, Syada dan juga ibunya Fauziah Sarman. 

Shila berniat mahu melepaskan rumah berkenaan dan memberi rumah lain kepada keluarganya, namun tidak disetujui. 

Penyanyi berumur 33 tahun ini tetap meneruskan niatnya itu memandangkan rumah berkenaan di atas namanya. 

Semalam, Shila telah memberi sedikit perkembangan terkini tentang rumah bungalow miliknya itu. 

Jelas Shila, keluarganya dah pun mencari rumah lain dan ianya dilakukan tanpa pengetahuannya. 

Ahli keluarganya dikatakan dah keluar dari rumah namun masih lagi belum sepenuhnya. 

“Setahu saya, mereka semua dah tiada di rumah itu, tetapi tak tahu secara rasmi dah pindah sepenuhnya atau belum lagi.” 

Sejak isu ini diketahui orang ramai, Shila akui ada yang dah mula bertanya untuk melihat dan memiliki rumah bungalow berkenaan. 

“Sudah ramai yang mula bertanya untuk membeli rumah berkenaan. Tetapi biarlah tunggu kosong betul dulu, rasanya masih ada orang kat rumah itu.” 

“Apabila dah kosong rumah tu, barulah senang untuk orang datang melihat dan tengok keadaan rumah.”

Tentang perpindahan keluarganya, Shila menyatakan, dia tak masuk campur tentang urusan itu.  

“Untuk kali ini, saya tak uruskan, mereka yang memilih sendiri. Saya tak uruskan sebab isu ini dah jadi terlalu besar, oleh itu saya ambil tindakan untuk diam diri. Saya lepas tangan.”  

“Tetapi jikalau ada masalah nanti, lepas tu mereka minta tolong, saya tengoklah macam mana.” 

Dalam pada itu, Syada Amzah ada menyatakan dia kini sedang dalam proses berpindah malah turut mahu memberi kucing-kucing yang terlalu banyak kepada mereka yang berminat. 

Sementara itu, Shila pula kini sedang beraksi dengan adik ketiganya iaitu Syahir di dalam Family Duo. 

Syahir Amzah berkata dia masih lagi tinggal di rumah bungalow tersebut, namun sepanjang pertandingan berkenaan, dia banyak habiskan masa bersama kakaknya di rumahnya di Cyberjaya, bersama Shila Amzah dan juga Ubai.