“Mesin perubatan di ICU tak mampu merawatnya, keadaan Rohana Jalil amat lemah”

4,765 views

Penyanyi Rohana Jalil telah pun dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia atau Hospital Canselor Tuanku Muhriz semenjak bulan April lepas. 

Ketika itu, ibu kepada Kilafairy ini mengalami masalah kebocoran di bahagian ususnya. 

Setelah hampir dua bulan, dikatakan keadaan penyanyi berumur 68 tahun ini, dalam keadaan yang agak lemah. 

Rohana Jalil kini memerlukan pemantauan dari doktor pakar. 

Hal ini disahkan oleh pengurusnya yang dikenali dengan nama Jepun. Ini kenyataan tentang keadaan terkini Rohana Jalil seperti dilaporkan Mstar. 

“Keadaan Rohana Jalil sangat lemah tetapi buat masa kini masih lagi stabil. Masalah kebocoran usus yang dialaminya masih lagi belum sembuh.” 

“Buat masa kini doktor tidak boleh buat apa-apa disebabkan keadaannya yang terlalu lemah. Jika nak lakukan sebarang prosedur rawatan seterusnya pun nampak agak sukar.” 

“Rohana juga tidak boleh makan, minum dan hanya bergantung kepada antibiotik untuk sembuhkan kebocoran usus itu.” 

Sementara itu, Jepun memberitahu bahawa Rohana tak lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi disebabkan penggunaan mesin rawatan sudah tak mampu merawatnya. 

Kuman juga telah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru serta buah pinggangnya. 

“Dia dah tak boleh dirawat di ICU sebab penggunaan mesin-mesin rawatan semuanya tidak lagi memberi kesan.” 

“Kerana usus bocor, kuman semuanya telah merebak ke organ-organ seperti paru-paru dan buah pinggang.” 

“Doktor kata keadaan ini ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa kerana dia pun sudah tidak kuat untuk melawan penyakitnya di alaminya itu.” 

Tentang punca sebenar, Jepun memberitahu Rohana Jalil pernah buat pembedahan bariatrik dua tahun lalu untuk merawat gastrik, namun ketika itu berlaku komplikasi.  

“Doktor cadangkan supaya Rohana melakukan pembedahan bariatrik dan katanya dengan melakukan prosedur ini dapat rawat rasa sakit gastrik.”  

“Namun doktor tak ada beritahu kami keadaan usus Rohana selepas pembedahan itu.”   

“Doktor beritahu usus selepas bedah aada luka dan kemerah-merahan tapi doktor tidak memaklumkan sebenarnya ia sudah menjadi teruk.”  

“Ketika itu Rohana hanya diberikan ubat antibiotik. Kami percaya nasihat doktor itu dan ikut saja saranannya.” 

Sementara itu,  pihak hospital telah menyarankan supaya Rohana tak rerima pelawat selain ahli keluarga bagi mengelakkan terkena jangkitan kuman. 

Itulah update terkini tentang Rohana Jalil dari pengurusnya bernama Jepun yang sudah 20 tahun bekerja dengan penyanyi berkenaan. 

Sama-sama kita doakan Rohana Jalil untuk sembuh, amin.