Pengalaman ada baby, Kamal Adli cerita perubahan Uqasha Senrose

458 views

Pasangan pelakon terkenal Kamal Adli dan Uqasha Senrose, telah masuk ke fasa baru apabila bergelar ibu bapa setelah kehadiran puteri sulung mereka yang diberi nama Hawra Uqaira. 

Pengalaman sebagai ibu bapa baru, sudah tentu memberi pelbagai cabarannya, akan tetapi, kata Kamal, mereka berdua sentiasa memberi yang terbaik untuk anaknya itu. 

Sebagai suami, Kamal, 38 tahun, memberi pujian kepada Uqasha, yang tak pernah pun sedikit mengeluh sepanjang menguruskan Hawra Uqaira.  

Banyak berjaga di tengah malam, walaupun letih, Uqasha tetap menjalankan tanggungjawabnya dengan begitu baik. 

KEADAAN UQASHA, DAN BABY 

“Syukur alhamdulillah baby saya sekarang dah masuk dua bulan. Keadaan dia amat sihat.” 

“Sama juga isteri saya, Uqasha, dia dah selamat jalani tempoh berpantang dan pasang badan sebelum dia akan kembali untuk berlakon semula.” 

PENGALAMAN MENCABAR, BERJAGA MALAM  

“Di awalnya, pengalaman memang ada sikit mencabar apabila baby selalu meragam masa malam.”  

“Saya dan isteri bergilir-gilir jaga, Uqasha selalunya sebelah siang, saya pula akan berjaga malam.” 

“Waktu siang baby kurang aktif dan tidur saja berbanding malam dia akan merengek dan sukar tidur.” 

“Saya ni memang seorang yang selalu jaga malam, namun tetap ada had waktu juga, selalu sampai 4 pagi.” 

“Tapi kadang-kadang, baby ni dia tetap tak nak tidur sampai pernah mencecah jam 7 pagi.” 

Jelas Kamal, buat waktu ini, dia dan isteri akan cuba untuk tukar rutin baby, agar tidur di waktu malam. 

“Sekarang saya cuba untuk tukar rutin harian baby supaya lebih aktif di siang hari dan tidur di sebelah malam. Saya harap berhasil.” 

UQASHA TAK MENGELUH 

“Jujurnya saya bangga dengan kesabaran dan juga semangat Uqasha ketika menjaga anak. Kalau saya, memang sudah tak sekuat macam tu.” 

“Walaupun saya ni dah biasa jaga malam, namun ada waktu koyak juga sebab kena berjaga sampai jam 4 pagi.”  

“Tapi Uqasha pula tak ada isu nak bangun tengah malam atau 3 pagi demi menjaga anak. Saya memang kagum betul dan baru sedar pengorbanan ibu kepada anak.” 

PERUBAHAN UQASHA SELEPAS ADA BABY 

“Kehadiran baby Hawra Uqaira memang banyak mengubah Uqasha. Sebelum ini, saya sendiri tidak mendapat layanan macam tu.”  

“Kalau dulu saya minta tolong ambil air tengah malam pun dia kata dah tak larat.”  

“Saya kagum dan puji perubahan Uqasha tu. Memang penat, tapi dia tetap sabar. Saya nak pinjam semangatnya itu.” 

KAMAL HEBAT TUKAR LAMPIN BABY 

“Selepas ada anak ni saya sedar tanggungjawab bapa. Saya kena tukar lampin dan mencuci najis.” 

“Nak cakap terus terang saya memang amat cekap buat semua kecuali mandikan baby saja.” 

“Ini kerana saya rasa badan baby ni masih terlalu kecil dan lemah. Jadi Uqasha sajalah mandikan anak.” 

“Nanti tunggu dia dah besar sikit.” 

TAK AMBIL PEMBANTU 

Buat masa sekarang, Kamal dan Uqasha belum ada plan untuk ambil pembantu menjaga baby.  

Jika perlukan bantuan, yang utama ialah dari keluarga mereka dulu. 

“Kami memang tak ambil pembantu untuk jaga dia. Kalau ada pun, ibu mentua banyak membantu dan sebolehnya kami sendiri akan jaga baby ni sendiri.” 

Itulah sikit sebanyak pengalaman Kamal Adli dan Uqasha Senrose sepanjang kehadiran baby pertama mereka, Hawra Uqaira.