Perbualan terakhir arwah ibu dengan Ali Puteh “Abam dah datang, panggil mak”

3,117 views

Dugaan besar buat pelawak Ali dari kumpulan Puteh setelah kehilangan ibu tercinta, juga abang tersayang dan anak kandung yang masih kecil.

Ali kehilangan ibunya, Sabariah Arsyad pada hari Khamis lalu, setahun lebih setelah pemergian Abam Bocey.

Jelas Ali, sejak Abam Bocey menghembuskan nafas terakhir pada bulan Februari tahun lalu, ibunya itu memang teramat rindukan Abam.

Ali Puteh, 32 tahun, berkata arwah ibunya selalu mengadu dia rindukan arwah Abam, dan kini rindunya itu telah berakhir.

Ibu Ali sebelum ini mengalami pelbagai penyakit seperti asma, buah pinggang dan perlu dialysis, paru-paru berair dan juga kencing manis.

Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ini cerita Ali tentang perbualan terakhirnya dengan ibu tersayang.

“Jumaat mak saya dah pergi, semua pengurusan berjalan lancar. Cita-cita dia memang nak berjumpa Abam, dia nak sangat jumpa arwah Abam.”

“Mak saya masuk hospital Selayang tiga hari lepas (sebelum meinggal dunia). Pada hari Jumaat, patutnya dia buat dialysis namun lebih kurang 11 malam (hari Khamis) doktor call cakap mak awak dah tenat. Saya terus bergegas nak ke hospital, namun doktor hubungi lagi, kata mak saya dah tiada.”

Ini kisahnya perbualan antara Ali dan juga arwah ibunya itu.

“Pada awal pagi Selasa sekitar jam 3 pagi, saya hantar mak hospital sebab dia ngadu sukar nafas. Sebelum tu, malam Isnin, dalam pukul 10 camtu dia panggil saya masuk bilik di rumah.”

“Dia terus peluk saya, dia peluk dan cakap mak sayang angah tau, saya pun cakap ye, angah pun sayang mak. Mak ni betul-betul dah nak pergi, abang kau (Abam) dah banyak kali datang kat mak, panggil mak. Masa tu saya peluk mak, saya cakap, mak rehat.”

“Lepas tu, lebih kurang jam 3 pagi, mak mengadu sesak nafas dan saya terus bawa mak ke hospital. Pagi Selasa, doktor kata kena tidurkan mak sebab dah banyak sangat air dalam paru-paru.”

Ibu kepada Ali dan Abam, Sabariah telahpun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, lokasi sama dengan tempat pengebumian arwah Abam Bocey.