Puteri Sarah lega dapat dedah kisahnya, akan buat umrah, berdoa diberi jalan keluar

6,616 views

Pelakon Puteri Sarah Liyana kini sedang berdepan kemelut rumah tangga apabila suaminya Syamsul Yusuf dikatakan ada orang ketiga.

Setelah meluahkan rasa hati dan nama individu berkenaan di laman Instagram miliknya, Puteri Sarah berkata kini dia rasa semakin lega.

Malah, Puteri Sarah juga akan berangkat ke tanah suci tak lama lagi untuk mengerjakan umrah bersama anaknya.

Pelakon ini juga memberitahu, tahun ini, dia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana.

“Saya memang sudah lama mengumpul duit dan dah ada plan nak buat umrah setelah tamat arahan perintah kawalan pergerakan. Amat bersyukur sebab diberi rezeki dan kesempatan untuk menjejakkan kaki ke tanah suci lagi.”

“Hati saya sekarang ini rasa sangat lega sekali. Dah tentu sebab saya dah melepaskan beban selama empat tahun.”

“Kini saya nak buat umrah dengan tenang dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah. Saya juga harap dapat dikelilingi orang yang positif.”

Sepanjang berada di tanah suci nanti, Puteri Sarah Liyana juga akan meminta agar dirinya diberikan petunjuk untuk mencari jalan keluar dari masalah yang sedang dilaluinya.

“Kali ini saya mahu berdoa agar diri saya ni diberi jalan keluar dari segala masalah. Saya juga berdoa agar diberi petunjuk untuk cari jalan penyelesaian.”

Puteri Sarah akan buat umrah dan berada di tanah suci selama 16 hari. Kemudian pelakon ini akan menyambung percutian ke negara Turki.

“Saya dah kerja keras selama ini dan asyik jalani penggambaran. Sekarang nak bercuti pula dengan family saya. Sebelum ini pun, anak kedua saya lahir semasa adanya perintah kawalan pergerakkan, dan pun tak pernah bercuti.”

Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusuf mendirikan rumah tangga pada Mac 2014 dan mempunyai dua orang anak. Baru-baru ini, Puteri Sarah mendedahkan individu yang mengacau rumah tangganya ialah wanita bernama Ira Kazar.