Rakan rapat cerita keadaan terkini Malique Too Phat

11,685 views

Kisah salah seorang ahli kumpulan Too Phat iaitu Malique memang agak misteri. 

Berjaya menempa nama sebagai salah seorang penyanyi hip hop yang berjaya bersama Joe Flizzow, Malique kini memilih untuk tidak lagi tampilkan dirinya di khalayak. 

Sungguhpun mempunyai kemasyhuran, Malique atau nama sebenarnya, Cairel Adrin, kini tidak lagi menonjolkan dirinya. 

Malique kini yang dilabel dengan nama The General, masih lagi aktif dengan karyanya namun tiada lagi menunjukkan wajahnya. 

Bukan saja tiada wajah, malah tiada sesi temuramah, tiada media sosial apatah lagi hadir di sebarang event. 

Kerinduan dengan kisah peribadi Malique sedikit terubat apabila anak perempuannya Inca Media ditampilkan di dalam video muzik terbarunya iaitu Sedih Hati. 

Naskah ini ternyata menjadi perhatian ramai, kerana buat pertama kali dapat melihat kehadiran anak remajanya yang sudah berumur 14 tahun itu. 

CERITA DARI RIZ METALASIA  

Salah seorang yang rapat dengan Malique ketika ini ialah pemain gitar, Rizal Abdul Halim atau Riz Metalasia. 

Malique bekerja dengan Riz sejak tahun 2012 lagi.  

Malah Riz juga antara yang tampil sebagai gitaris dalam video muzik Sedih Hati. 

Riz mendedahkan bahawa Malique memang ada memasang impian untuk mengadakan persembahan pentas. 

“Malique ada cakap dia ingin buat show. Itu satu angan-angan dia. Kita tunggu saja. Memang ramai yang tunggu Malique buat konsert, ramai rindu dia.”  

“Soal berkenaan sikap Malique yang dah terbuka apabila menampilkan anaknya Inca dalam muzik video itu, tak nafikan. Kalau tak, sebelum ini, jangan harap nak tengok wajah anak-anaknya.” 

Tentang diri Malique sekarang, ini jawapan dari Riz.  

“Ramai nak tahu keadaan Malique sekarang. Malique ni masih nampak muda, muka masih sama macam dulu. Dia dalam keadaan sihat.” 

“Malique seorang yang tegas, setiap kali ada rakaman lagu baru, dia sentiasa ada.”  

“Dulu kami rakam lagu di rumahnya, tapi bila anaknya dah besar, kami buat kerja di Qamar Studios.”  

“Malique tahu apa yang dia nak. Dia terbuka terima idea orang. Kalau saya ada idea, saya bagi. Kami bekerja secara berpasukan.”  

“Saya amat seronok bekerja dengan Malique.” 

Jelas Riz dia pun pernah terfikir adakah Malique tak mahu hidup macam orang lain, seperti lepak mamak, tapi perkara itu cukup mustahil berlaku.   

“Perkara macam itu takkan berlaku. Cubalah buat carian google gambar Malique di internet, takkan jumpa wajah terkininya.”  

“Sikap itu menjadikan dirinya mahal.” 

CERITA DARI KMY KMO 

Penyanyi Kmy Kmo antara penyanyi yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman milik Malique. 

Ini pula cerita dari Kmy Kmo tentang Malique.  

“Masa jumpa Malique saya ada bertanya kenapa dia tak buat konsert.” 

“Masa itu, tahun 2015, Malique cakap mungkin suatu hari kelak, dia akan buat konsert. Tetapi, dia sendiri tak pasti bila.” 

Kmy Kmo berkata pada tahun 2014, Malique mahu berjumpa dengannya dan ketika itulah dia pertama kali bertemu Malique,  

“Walau pun nama besar, Malique ambil berat dan merendah diri.”  

“Pada tahun 2014 Malique sedang mencari penyanyi rap.” 

“Saya ada di Kuantan, Pahang, masa tu pantai timur dilanda banjir teruk, jalan ditutup dan Malique kemudian membelikan tiket penerbangan kepada saya.”  

“Bila sampai di rumah Malique, saya jadi star struck. Ini pertama kali berjumpa dengan Malique. Dia memang ambil berat, tanya saya banyak kali saya okey dan saya dah makan.”  

“Kalau tengah kerja, beliau fokus. Selepas kerja, Malique jadi orang yang berbeza. Suka buat lawak dan buat aktiviti yang boleh naikkan mood.” 

CERITA DATUK AHMAD IZHAM 

Datuk Ahmad Izham Omar, merupakan individu yang menaikkan nama Too Phat ketika bernaung di bawah label Positice Tune. 

Ahmad izham berkata dia hormati keputusan Malique tak mahu menonjolkan dirinya.  

“Kita kena belajar dari Malique sebab beliau sangat berkualiti. Saya pun tak mahu komen banyak tentang keputusannya untuk tak mahu ke depan.” 

“Malique amat teliti dan berdedikasi dalam karyanya. Nukilannya selalunya melangkaui yang ada dalam industri muzik. Yang paling jelas sekali, lirik penulisannya.” 

“Penggunaan bahasa sangat inovatif, tetapi kekal betul penggunannya.” 

“Karya Malique wajar dikaji pakar bahasa untuk difahami evolusi Bahasa Melayu.” 

Itulah kisah Malique yang masih aktif namun tidak ke depan. 

Malique berkahwin dengan Melissa Maureen pada tahun 2008 dan kini mempunyai empat orang anak bernama Inca, Rumi Arjuna, Chasca Maya dan juga Ezra Aditya.