Penyanyi dari kumpulan OAG iaitu Radhi mendedahkan kini sedang mencari wang untuk melangsaikan bil hospital arwah ibunya.
Arwah ibu Radhi, Fatimah Wee, 66 tahun, meninggal dunia pada 14 Januari lepas kerana komplikasi dari barah usus yang dialaminya.
Dari laporan Harian Metro, Radhi menyatakan hospital kemudian mengeluarkan bil sejumlah RM18 ribu yang harus diselesaikan olehnya.
Penyanyi ini berkata dia dan ibunya amat rapat, dan dia bertanggungjawab untuk selesaikan bil berkenaan.
“Arwah emak saya menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah saudara saya di Kampung Tunku.. Jenazahnya kemudian telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 10, Kota Damansara.”
“Pemergian arwah emak adalah selepas 40 hari pemergian abang sulung saya, iaitu arwah Termidzi Razali juga kerana barah. Arwah abang ada barah darah dan kulit.”
Radhi merancang untuk membuat persembahan nyanyian demi melangsaikan bil arwah ibunya.
“Bil hospital arwah emak saya lebih kurang RM18,000. Memang saya akan cuba sebaiknya untuk bayar dan saya akan buat showcase.”
“Showcase saya akan diadakan di Bayang Coffee Kafe, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada bulan Mac, sebelum hadirnya bulan Ramadan nanti.”
Penyanyi ini akui, dia dan arwah ibunya memang rapat dan dia antara individu terakhir yang berada di sisi arwah ketika pemergiannya.
“Hari ini pun saya pakai baju emak saya. Saya tahu dia sakit beberapa bulan lepas, dan saya dah redha Allah jemput dia.”
“Syukur sangat emak pergi dalam keadaan tenang. Saya merupakan orang terakhir dan sempat ajar emak untuk mengucap kalimah syahadah.”
“Perlahan-lahan saya ajar, masa tu air mata emak dah mengalir dah. Memang saya tak boleh lupa sampai bila-bila pun.”
Sepanjang hidup, Radhi selalu melayan ibunya seperti mengurut dan memasak untuk ibu tersayang.
Pemergian ibunya ini turut membuatkan Radhi OAG berjanji untuk menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang.
“Emak selalu beri nasihat dan saya janji akan jadi anak yang soleh.” Itulah luahan dari Radhi OAG.
Semoga Radhi OAG akan dipermudahkan urusan untuk selesaikan bil hospital yang mencecah RM18 ribu itu.