Setelah terima pangkat Datuk, ini yang Aishah lakukan

8,733 views

Penyanyi yang pernah menjuarai Gegar Vaganza iaitu Aishah kini telah pun bergelar Datuk apabila menerima anugerah pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan pada hari Sabtu lalu.

Aishah yang kini berumur 57 tahun, memang amat terharu dengan anugerah yang diterimanya itu dan baginya ini satu pengiktirafan setelah lebih kurang 30 tahun menceburi bidang seni.

“Sejujurnya, memang teramat terharu kerana pangkat ini. Macam mimpi. Banyak suka duka sepanjang perjalanan kerjaya seni saya ini. Ada turun naik.”

“Jadi dengan kurniaan anugerah ini, ia akan jadi pembakar semangat buat saya untuk terus berkarya. Sudah tentu status ini akan saya jaga dan pelihara sebaik mungkin termasuk melakukan perkara positif dan kerja amal.”

Dengan title Datuk yang diterima, Aishah harap dia dapat berjuang untuk memberi manfaat serta kegembiraan kepada orang ramai dan masyarakat.

“Saya akan berkarya dan akan juga melakukan perkara yang baik agar dapat meninggalkan legasi yang dapat beri manfaat kepada masyarakat.”

Datuk Aishah juga melahirkan niatnya untuk terlibat aktif dengan aktivit perlindungan haiwan selepas ini.

“Saya mahu terlibat aktif dalam aktiviti perlindungan haiwan sebab saya ini amat sukakan haiwan terutama kucing. Kalau ada peluang, saya nak menjadi jurucakap dan bekerjasama dengan memana pusat perlindungan haiwan.”

Selain itu, Aishah juga akan menulis lirik yang dapat memberi mesej kepada orang ramai.

“Di hujung usia ini, saya nak tulis lirik yang mempunyai mesej yang baik. Harapnya dapat meninggalkan legasi yang baik kepada semua pendengar.”

“Saya akan menceburi bidang kraftangan dengan lebih serius pada masa akan datang.”

Tentang panggilan Datuk, Aishah berkata dia masih lagi kekok dengan panggilan berkenaan.

“Kalau ada orang yang panggil saya Datuk, secara automatik saya akan toleh ke belakang sebab fikir mereka cakap dengan orang lain. Takutlah tersalah bual kan.”

“Apapun gelaran, saya masih Aishah yang dulu, sama saja. Tak ada yang berubah. Gelaran ini biasanya diguna dalam majlis rasmi.”

Tentang perkembangan terkini kerjayanya, Datuk Aishah akan tampil dengan sebuah lagu baru tak lama lagi.