Shuib amat terasa dengan kehilangan isteri tercinta, Siti Sarah, yang sudah pergi buat selamanya pada bulan Ogos yang lalu.
Setelah hampir dua bulan pemergian Sarah, ada pula yang bertanya tentang bab jodoh.
Menerusi satu laporan Harian Metro, Shuib dengan tenang telah memberi jawapan bahawa buat sekarang dia masih belum lagi bersedia.
“Jika ada yang bertanya tentang bab jodoh sekarang ini, saya masih lagi belum bersedia. Bukannya apa, ada rasa pelik yang timbul jika fikir soal ini. Bukannya apa, saya ada terfikir, apa perasaan dia di sana.”
“Jodoh saya tak berani nak cakap, ianya aturan dari Yang Maha Esa. Saya tak ada nak tolak jodoh andai ianya yang terbaik buat saya.”
“Saya tak akan cakap yang saya tak akan kahwin lagi. Saya masih muda lagi, baru umur 37 tahun, anak ada empat orang. Sudah tentu mereka juga perlukan kasih sayang dari seorang perempuan. Apapun, saya hanya serahkan pada takdir dan biarkan Allah yang tentukan masa depan, jodoh atau siapa jodoh saya kelak.”
Jelas Shuib buat masa sekarang, tiada wanita yang mendekati dirinya.
“Saya tidak tahu. Sekarang ni memang tak ada mana-mana wanita yang ada dekati saya. Wanita yang saya kerap contact sekarang pun hanyalah dengan Kak Nana iaitu pengurus.”
Sekiranya pintu hatinya terbuka untuk menerima jodoh, Shuib tidak mahu wanita itu ada persamaan dengan arwah isterinya.
“Saya tak nak dia ada persamaan dengan arwah kerana Sarah ada kelasnya yang tersendiri. Memang akan ada kriteria yang saya cari tapi iaitunya untuk kepentingan anak-anak dan family saya.”
“Kalau dia berjaya pikat hati anak-anak saya, dialah orangnya kerana yang penting adalah anak-anak saya semuanya. Mereka pernah ada ibu, sudah tentu mereka mahukan sentuhan seorang ibu dan jika ada jodoh, saya kena pilih yang tepat.”
Dalam pada itu, Shuib berkata ketika ini dia masih belum pulih sepenuhnya.
“Sejak arwah Sarah tiada, saya akui hampir semua diri ini hilang. Emosi merupakan satu perkara yang paling sukar untuk saya hadapi. Emosi anak nampak okey, tapi saya berbeza.”
“Ketika Sarah masih hidup, hampir semua saya buat bersamanya, hal kerjaya hal perniagaan, semua saya rujuk dengan dia, begitu juga dengan dia.”
“Sekarang ini, kalau ada hal apa-apa saya tak tahu nak cakap dengan siapa, saya tak bercerita dengan orang lain termasuk dengan mak atau family mertua.”
“Apa yang saya mampu buat untuk kawal emosi saya adalah dengan pergi ke kubur dan cerita dengannya di sana.”
Shuib akan datang ke kubur hampir setiap hari Isnin dan juga hari Jumaat, dan akan meluahkan rasa hatinya di sana.